Amin Faisal dedah ditamatkan kontrak apabila beliau minta gaji untuk perbelanjaan isteri nak bersalin

8,299

Jika semalam bekas jurulatih kecergasan Kelantan FC tampil membuat pendedahan mengejutkan mengenai insiden dicekik pemilik kelab Norizam Tukiman pada satu perlawanan, kini bekas penjaga gol Amin Faisal Mohd Saidi pula tampil menceritakan situasi yang dihadapinya.

Menurut Amin Faisal, situasi sebak yang tidak boleh dilupakannya adalah apabila kontraknya ditamatkan apabila ketika beliau meminta gajinya daripada Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham untuk perbelanjaan isterinya yang mahu bersalin.


“Saya berasa cukup terkilan kerana waktu isteri saya nak bersalin saya hubungi Zamsaham untuk minta gaji, tapi tiba-tiba beliau cakap kat saya; ‘Amin kau cari pasukan barulah tahun depan.’

Terkejut juga saya kerana ketika itu saya masih mempunyai baki kontrak selama setahun lagi bersama kelab itu.

Waktu itu saya tak fikir panjang saya cakap tidak mengapa, yang penting Zamsaham dapat bagi gaji supaya saya boleh guna untuk isteri nak bersalin,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Amin Faisal berkata selepas itu beliau tidak lagi berhubung dengan Zamsaham dan tidak lama kemudian beliau terlihat kenyataan rasmi dari media sosial rasmi Kelantan mengenai penamatan kontraknya.

Tambahnya lagi, ketika pengumuman itu dibuat tiada sebarang perbincangan di antara beliau dan pihak pengurusan dilakukan dan beliau dilepaskan begitu sahaja.

“Ketika itu saya cukup bergelut kerana sebagai suami saya perlukan sediakan keperluan untuk isteri saya nak bersalin.

Saya terpaksa ambil cuti dan balik kampung untuk buat kerja termasuk masuk hutan potong kayu untuk cari wang untuk tampung komitmen keluarga.”

Beliau bagaimanapun bersyukur apabila masih lagi dapat meneruskan karier bola sepaknya apabila kini menyarung jersi Manjung City FC yang bermain di Liga M3.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa kelab masih lagi belum menyelesaikan hutang gajinya.

“Kalau ikutkan kontrak saya selama dua tahun, mereka masih hutang saya 12 bulan untuk pampasan. Gaji bulan November dan Disember juga belum bayar, manakala gaji bulan Oktober saya hanya terima suku sahaja.”

Pemain berusia 26 tahun itu juga memberitahu bahawa pihak kelab masih lagi tidak membayar potongan Kumpulan Kewangan Simpanan Pekerja (KWSP) dari tahun lepas walaupun dalam slip gaji memaparkan potongan sudah dibuat.

Bonus yang dijanjikan hanya sekadar ‘cakap kosong’ kerana pemain belum dapat.

Beliau pada masa sama turut mendedahkan bonus RM20,000 yang dijanjikan oleh Zamsaham sekiranya mereka layak ke suku akhir Piala Malaysia 2022 juga hanya sekadar cakap kosong.

Sijil emas yang dikatakan boleh ditebus hanya sekadar ‘kertas kosong’ apabila pihak kedai emas berkata sijil tersebut tiada nilai.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan beliau sendiri pernah mengalami sendiri pengalaman mendengar Zamsaham melontarkan kata-kata kesat ketika di bilik persalinan.

“Mengenai dakwaan maki dan kacau psikologi dan mental pemain itu memang benar dan jujur saya sendiri dengar. Waktu itu perlawanan di Stadium Cheras beliau masuk bilik persalinan dan kedengaran seperti beliau sedang bergaduh dengan siapa entah.

Saya tidak nampak kerana pintu bilik ditutup tapi memang boleh dengar perkataan-perkataan kesat yang dilontarkan oleh beliau.”

Selain itu, beliau juga memberitahu ada pemain import yang rapat dengan beliau menangis di hadapannya kerana dimaki oleh Zamsaham, yang mana beliau merasakan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.