Saya memang percaya dengan persembahan pemain dari minit pertama lagi – Nafuzi Zain

746

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain gembira anak buahnya menunjukkan semangat juang yang tinggi bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sabah FC dalam aksi Liga Super sebentar tadi.

Beliau berkata, dari minit pertama lagi persembahan para pemain meyakinkan dirinya dan beliau yakin mereka mampu membalas jaringan awal yang dilakukan oleh Sabah.


“Dari minit pertama lagi para pemain meyakinkan saya, kita tahu Sabah punya set piece memang bahaya tetapi dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain, saya yakin gol akan tiba juga.

Kita lihat dari separuh masa pertama kita kawal permainan, kita tak beri mereka peluang untuk bermain dan kita bermain dengan intensity tinggi sehingga akhir permainan,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan menentang Sabah yang menyaksikan pasukannya menang 2-1.

Nafuzi berkata, setakat pusingan pertama saingan Liga Super musim ini, beliau gembira dengan prestasi pasukannya.

Namun, beliau sedar masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki untuk separuh kedua Liga Super selepas ini.

“Setakat pusingan pertama dan musim pertama saya setakat ini, ia satu keputusan yang gembira tetapi masih banyak lagi cabaran dan liku-liku yang perlu kita hadapi selepas ini.

Kita kena pastikan ada peningkatan dan perbaiki segala kelemahan untuk pusingan kedua kerana ia akan lebih sukar.”

Beliau mengakui masih banyak lagi kelemahan yang ada dalam pasukan, tetapi gembira pemain sentias menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.