Kita masih belum terlambat untuk baiki kedudukan dalam liga – Ong Kim Swee

174

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui Sabah bermain tidak cukup baik pada malam ini dan terpaksa akur tewas 2-1 kepada Kedah Darul Aman FC.

Beliau berkata, Sabah harus bangkit pada pusingan kedua untuk memastikan mereka kekal berada di kedudukan yang baik dalam liga.


“Kita tewas kepada pasukan yang lebih baik, kita kena akur kemenangan berpihak kepada Kedah tetapi kita harus perbaiki kelamahan.

Untuk pusingan kedua ini kita perlu bangkit, saya percaya kita di landasan yang betul dan belum terlambat untuk perbaiki kedudukan kita,”

katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Aman yang menyaksikan Kedah menang 2-1.

Dalam pada itu, beliau mengakui kecederaan yang dihadapi Jailton pada separuh masa pertama memberi kesan kepada pasukannya, tetapi menganggap ia bukan alasan untuk tewas.

“Memang apabila Jailton cedera ia sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan, tetapi apabila berlaku sesuatu kepada pemain kita tak boleh terus ikut rentak lawan, kita kena ubah cara kita.

Tetapi perubahan yang kita lakukan berjaya dikekang oleh pihak lawan, Kedah ada pemain yang cukup berkualiti terutama dalam situasi satu lawan satu.”

Jelas Kim Swee, Jailton kini masih berada di hospital untuk menjalani CT scan, dan beliau berharap kecederaan yang dialaminya tidak serius.

Sementara itu, beliau mahu para pemain bangkit apabila bertemu PDRM FC dalam perlawanan seterusnya.

Kim Swee tidak mahu para pemain mengambil mudah pihak lawan biar pun pernah menewaskan mereka awal musim ini dengan jaringan besar 4-0.