Osmera Omaro tuntut anak buah lebih berdisiplin untuk elak beri ‘hadiah’ buat pasukan lawan

180

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-17, Osmera Omaro memberitahu persiapan pasukannya menjelang Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand sedang berjalan dengan lancar dan mereka kini berada di fasa akhir.

Untuk memantapkan lagi skuad, skuad negara akan mengadakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Uzbekistan B-17 esok (6 Jun) dan Arab Saudi B-17 pada 9 Jun ini sebagai persiapan terakhir.


“Untuk perlawanan esok semestinya kita nak menang, tapi sudah pasti kita mahu lihat apa yang diterapkan dapat diterjemahkan oleh pemain. Menentang pasukan yang bagus akan menentukan tahap permainan kita.

Tidak dinafikan prestasi pasukan muda ini ada naik dan turun, namun buat masa ini saya lihat semuanya dalam keadaan baik.

Saya juga harap pemain saya dapat kurangkan bagi ‘hadiah’ (bagi gol-gol) mudah kepada pasukan lawan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, beliau juga menyuarakan rasa kurang puas hatinya pada bahagian serangan yang dilihat masih lagi belum cukup tajam, tapi percaya perkara itu dapat diperbaiki dalam dua perlawanan persahabatan nanti.

Sebanyak 26 pemain telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat dan pemilihan fasa akhir yang mana beliau hanya akan memilih 23 pemain sahaja untuk dibawa ke Piala Asia B-17.

“Saya rasa untuk esok kita akan mulakan dengan kesebelasan utama terlebih dahulu, tapi dalam baki tempoh seminggu ini juga kita akan menggunakan kesemua 26 pemain kerana mereka juga perlukan peluang untuk buktikan kemampuan mereka.”

Dalam pada itu, Osmera juga memberitahu kesemua pemainnya kini bebas dari sebarang kecederaan serius.

Untuk kejohanan Piala Asia B-17, skuad Harimau Muda telah diundi dalam Kumpulan A yang mana mereka akan memulakan kempen bertemu Yemen pada Khamis, 15 Jun diikuti aksi kedua berdepan tuan rumah, Thailand pada Ahad, 18 Jun dan aksi terakhir kumpulan menentang Laos pada Rabu, 21 Jun.

Sementara itu, empat pasukan terbaik di Piala Asia B-17 akan layak ke Piala Dunia B-17 2023 yang dijadual akan berlangsung pada November depan.