Kami tiada masalah untuk lawan mana-mana pasukan! Akan beri aksi terbaik – Afiq Danish

371

Pemain tengah pasukan kebangsaan B-17, Afiq Danish Hasniruddin memberitahu beliau dan rakan sepasukannya sudah bersedia dan tidak gentar untuk bertemu mana-mana pasukan pada kejohanan Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand bulan ini.

Menurut Afiq, mereka sudah pun membuat persiapan yang cukup rapi dan kini dalam kem latihan pusat dan pemilihan fasa akhir termasuk akan mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa.


“Untuk persiapan semuanya berjalan dengan lancar dan kami sudah bersedia untuk ke Piala Asia B-17.

Kalau kami bermain dalam prestasi terbaik, lawan sesiapan pun tiada masalah kerana kami akan beri aksi terbaik,”

katanya.

Afiq juga mengakui harapan tinggi diletakkan kepada beliau dan rakan sepasukan, namun beliau tidak melihat perkara itu sebagai tekanan kerana mereka sudah dapat mengadaptasi dengan situasi itu.

“Tekanan itu mesti ada. Sebagai seorang pemain bola sepak perkara itu akan datang. Kami sudah berada tekanan tinggi sejak dari kelayakan Piala Asia B-17 lagi, jadi untuk kejohanan nanti kami sudah dapat adaptasi dengan baik.”

Esok skuad kendalian Osmera Omaro akan mengharungi perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan dan akan menentang Arab Saudi pada 9 Jun ini di mana kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.

Dalam pada itu, untuk kejohanan Piala Asia B-17 skuad Harimau Muda telah diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, Laos dan Yemen.

Empat pasukan terbaik pada kejohanan itu akan layak ke Piala Dunia B-17 yang akan berlangsung pada November depan.