VAR mungkin akan mula digunakan pada kejohanan Piala Malaysia

345

Sasaran untuk menggunakan teknologi VAR (video bantuan pengadil) untuk perlawanan separuh akhir dan akhir Piala FA tidak akan menjadi kenyataan, sebaliknya penggunaan teknologi itu mugkin hanya dapat digunakan pada kejohanan Piala Malaysia.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundram selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025.


“Latihan VAR untuk pengadil akan memakan masa selama enam bulan iaitu sehingga November, jadi mungkin harapan kita akan dapat guna pada Piala Malaysia untuk perlawanan separuh akhir atau perlawanan akhir.

Tapi ia masih belum diputuskan kerana ia satu teknologi yang baru, tapi kita harap dapat buat pada Piala Malaysia nanti,”

katanya.

Menurut Sivasundram, latihan untuk VAR akan berlangsung bermula bulan Jun hingga November depan yang mana ia akan dikendalikan oleh tiga pengajar dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sebanyak 20 pengadil dan 10 penolong pengadil A & A1, enam pengadil FIFA, lapan penolong pengadil FIFA dan seorang pengadil FIFA wanita telah dipilih untuk menjalani latihan VAR dan akan ditauliahkan untuk tahun ini.

Manakala sebanyak 15 pengadil dan 15 penolong pengadil lain akan turut dipanggil untuk mengikuti latihan VAR pada tahun ini yang mana kesemua mereka akan ditauliahkan pada tahun 2024.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa FAM dan MFL kini berada di peringkat akhir perbincangan dengan lima buah syarikat pembekal VAR.

“Kami sudah pun berada di peringkat akhir perbincangan bersama MFL, jadi kami akan dedahkan butiran lanjut apabila perbincangan itu selesai.

Di peringkat akhir ini kita membincangkan mengenai kos dan lain-lain.”