Kelab atau negara?

5,618

Liga Super Malaysia akan melabuhkan tirai pusingan pertama untuk musim ini untuk memberi ruang kepada pasukan kebangsaan Malaysia yang akan mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1.

Skuad Harimau Malaya akan menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun dan Papua New Guinea pada 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.


Disebalik keterujaan peminat dengan perlawanan skuad negara, juara bertahan liga Johor Darul Ta’zim (JDT) juga sibuk pada kalendar FIFA nanti apabila mereka sudah mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab dari Singapore Premier League iaitu Albirex Niigata Singapore.

Perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 17 Jun ini.

Namun persoalan yang timbul ketika ini, pemain manakah yang akan diturunkan oleh pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari untuk perlawanan itu nanti.

Ini kerana sebahagian besar skuad negara kendalian Kim Pan-gon adalah pemain dari JDT antaranya Arif Aiman, Corbin Ong, Matthew Davies, Syihan Hazmi, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba dan beberapa lagi yang mana pastinya mereka akan dipanggil untuk memperkuatkan pasukan untuk kedua-dua perlawanan persahabatan itu.

Mungkinkah JDT akan menurunkan pemain yang sering memanaskan bangku simpanan sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan minit permainan.

Pada masa sama mungkin pemain JDT II yang beraksi di Piala MFL akan dipanggil untuk memperkuat pasukan yang mana ia juga akan membolehkan Solari untuk menilai pemain-pemain muda ini dan diserap ke skuad utama.

Menurunkan pemain simpanan dan pemain muda tidak akan membuatkan JDT ‘lemah’ kerana mereka mempunyai ramai pemain berkualiti yang sentiasa memberikan saingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Mungkin menerusi perlawanan menentang Albirex Niigata ini kita akan melihat pemain muda JDT akan dinaikkan ke skuad utama.

Sementara itu, untuk pasukan Albirex Niigata bukan pasukan yang boleh dipandang rendah kerana mereka adalah sebuah pasukan yang baik kerana mereka kini berada di kedudukan tangga kedua liga dengan jarak dua mata sahaja dibelakang pendahulu liga, Tampines Rovers.

Perlawanan JDT menentang Albirex Niigata pastinya akan menjadi perlawanan yang menarik untuk disaksikan oleh peminat bola sepak di Johor.