E. Elavarasan akan terus kekal sebagai ketua jurulatih B-23 – Noor Azman

157

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman mengesahkan bahawa E. Elavarasan akan dikekalkan sebagai ketua jurulatih untuk pasukan kebangsaan B-23.

Noor Azman berkata demikian dalam satu sidang media selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 sebentar tadi.


“Untuk skuad B-23, kita ada kelayakan Piala Asia B-23 pada bulan September dan Piala AFF B-23 pada bulan Ogos nanti, oleh itu kita akan kekalkan E. Elavarasan. Itu sahaja yang diputuskan pada mesyuarat tadi,”

katanya.

Beliau turut berkata FAM telah meletakkan sasaran untuk skuad B-23 mara sekurang-kurangnya ke peringkat Pusingan 16.

Ditanya apakah tindakan yang akan diambil sekiranya skuad Harimau Muda gagal untuk mencapai sasaran tersebut, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.

Dalam pada itu, Noor Azman juga memberitahu bahawa mereka akan membuat pengumuman mengenai pelantikan ketua jurulatih pasukan futsal kebangsaan baru dalam masa terdekat ini.

“Memang kita sudah bersetuju untuk lantik ketua jurulatih yang baru dan kita akan umumkan dalam masa sebulan atau dua bulan lagi.

Kita sudah mempunyai tiga calon pengendali dari luar negara dan sudah putuskan tapi kita akan umumkan nanti.”

Sementara itu, beliau turut memberitahu senarai pemain untuk kem latihan pusat Harimau Malaya akan diumumkan dalam masa terdekat ini kerana kem latihan akan mula berjalan pada minggu hadapan.

Malaysia akan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun dan Papua New Guinea pada 20 Jun ini.

Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.