Mustahil untuk DSV ambil alih Kelantan FC?
Selepas satu demi satu masalah dan kontroversi yang melanda Kelantan FC dan pemiliknya Norizam Tukiman, timbul cakap-cakap yang mahu ahli perniagaan sensasi Dato’ Seri Vida (DSV) menyelamatkan kelab itu dengan mengambil alih pasukan itu.
Nama DSV timbul kerana beliau bukan asing dengan bola sepak Kelantan kerana pada tahun 2016, beliau pernah menjadi penaja utama The Red Warrior yang menyaksikan ia telah mendapat perhatian dan liputan yang cukup meluas.
Ketika bersama kelab itu, DSV dilaporkan telah melabur dalam jumlah yang besar untuk meningkatkan semula prestasi dan mahu kelab itu kembali menjadi gergasi Pantai Timur.
Persoalannya kini, mampukah DSV menjadi penyelamat kelab itu? Atau ia sekadar desas-desus untuk publisiti sahaja.
Melihat kepada situasi ketika ini, tampak sukar untuk ahli perniagaan berasal dari Kelantan itu mahu mengambil alih kelab itu kerana pastinya Norizam atau dikenali Zamsaham enggan melepaskan kelab itu begitu sahaja selepas melabur puluhan juta.
DSV dalam satu wawancara sebelum ini memberitahu bahawa beliau sedang menunggu waktu yang sesuai untuk bertemu dengan Zamsaham bagi membincangkan mengenai perkara itu.
Namun apa yang menjadi perhatian adalah sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, DSV memberitahu beliau akan melantik anak lelakinya yang dikenali dengan panggilan Kacak menjadi pengurus pasukan.
Berbalik kepada persoalan utama iaitu mampukah DSV mempunyai kapasiti untuk mengambil alih kelab itu?
Umum sedia maklum bahawa usahawan kosmetik itu adalah figura yang sering terpalit dengan kontroversi dan terbaru beliau yang melancarkan pelaburan mata wang kripto Lavida Coin telah menjadi perhatian ramai apabila ramai pelabur yang menyertai skim tersebut dikatakan berdepan masalah.
Isu tersebut telah diheret ke mahkamah selepas pelabur-pelabur memfailkan saman dan kes tersebut masih lagi dalam proses mahkamah.
Pastinya isu ini perlu diberi perhatian sekiranya DSV benar-benar mahu menjadi pemilik baru kelab itu.
Banyak lagi perkara yang perlu diambil kira termasuk kekuatan kewangan DSV untuk menguruskan sebuah kelab bola sepak yang beraksi di liga tertinggi, Liga Super.
Tidak dapat dinafikan beliau adalah seorang jutawan, tetapi kelab bola sepak boleh buat seorang jutawan jatuh terduduk kerana semua tahu bola sepak tidak Malaysia sukar untuk buat untung.
Apa pun, sama-sama kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku dalam masa terdekat ini.