Mana lagi pas bermusim Liga-M?
Selain jadual Liga-M yang juga diumumkan agak lambat, peminat bolasepak tempatan juga mula mempersoalkan mengapa kebanyakan pasukan masih belum mengumumkan sebarang info mengenai pas bermusim?
Setakat ini yang dilihat hanya pasukan JDT, Terengganu dan Kelantan yang telahpun membuka pendaftaran pas bermusim sementara Selangor dan Melaka United belum memberi kepastian tentang tarikh sebenar.
Meskipun pandemik Covid-19 masih belum menunjukkan tanda reda, mahu tidak mahu kita harus meneruskan apa yang dirancang kerana ini adalah usaha menuju endemik. Begitu juga segala perancangan mengenai Liga Malaysia yang akan bermula tidak lama sahaja lagi.
Walaupun SOP terbaru mengenai kehadiran fans ke stadium belum diumumkan MFL tentang berapa kapasiti yang dibolehkan, pasti ada segelintir penyokong setia yang menantikan untuk mendapatkan pas bermusim bagi merancang kewangan mereka.
Penyokong setia pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan ‘priority lane’ ini selain mendapatkan akses tempat duduk terbaik di stadium ‘home’, diberi keutamaan untuk mendapatkan tiket perlawanan tambahan, ruang parkir khas dan banyak lagi faedah lain.
Pas bermusim atau kad keahlian ini juga akan menjadi ‘kayu ukur’ untuk menarik perhatian penaja menaja sesebuah pasukan. Dari situ, mereka akan menilai sama ada pasukan tersebut mempunyai ramai penyokong setia yang akan memberi ‘pulangan’ atau manfaat kepada penaja.
Setiap pasukan perlu mengambil kira tentang kepentingan mengutamakan pas bermusim ini kerana dari situ fans akan menilai tentang kredibiliti pengurusan pasukan dalam meletakkan kepentingan fans sebagai ‘aset’ pasukan. Oleh itu, setiap pasukan harus merebut peluang sementara liga belum bermula ini sebagai masa untuk ‘beli jiwa’ fans.