Osmera Omaro puji aksi pemainnya walaupun tewas kepada Uzbekistan

342

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-17, Osmera Omaro memuji pemain-pemainnya yang bekerja keras sepanjang tempoh 90 minit perlawanan walaupun mereka tewas tipis 3-2 kepada Uzbekistan B-17 malam tadi.

Menurut Osmera, tidak dapat menafikan bahawa pasukan lawan bukan sahaja mempunyai kelebihan dari fizikal, tetapi mereka juga adalah sebuah pasukan yang lebih berkualiti.


“Perkara positif yang boleh dilihat adalah ketika berada dalam situasi sukar, kita berjaya juga dapat dua gol daripada set pieces. Ada perkara positif dan negatif dan pemain belajar dari perlawanan ini.

Pemain bekerja dengan keras sepanjang perlawanan dan tidak buang bola walaupun dalam situasi getir dan tetap cuba untuk bermain jadi kredit kepada semua pemain,”

katanya.

Osmera juga berkata masih banyak perkara yang perlu diperbaiki terutamanya tahap kecergasan pemain dan mahu cuba kurangkan buat kesilapan.

Beliau berkata separuh masa pertama anak buahnya bermain dengan baik, namun apabila masuk separuh masa kedua pemain-pemainnya mula keletihan dan melakukan banyak kesilapan muda sehingga menyebabkan pihak lawan berjaya menjaringkan dua gol mudah.

Dalam pada itu, beliau juga mahu pemainnya mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah putus asa terutamanya apabila ketinggalan.

“Pemain perlu percaya pada diri mereka sendiri. Jika kita lihat tadi sudah pasti Uzbekistan adalah pasukan yang lebih baik, tetapi pemain kita mampu juga untuk beri saingan jadi mengapa mereka berasa down apabila ketinggalan.

Inilah perkara yang saya mahu perbaiki dan terus perbaiki.”

Perlawanan malam tadi adalah perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 untuk persiapan pasukan menjelang Piala Asia B-17 2023 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand dari 15 Jun hingga 2 Julai.

Selepas Uzbekistan, skuad negara akan bertemu dengan sebuah lagi pasukan gergasi Arab Saudi pada 9 Jun ini di Stadium UiTM, Shah Alam.