Saya akan berbincang dengan Tan Cheng Hoe samada kita perlu memperkuatkan lagi pasukan untuk pusingan kedua Liga Super – Dr. Johan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon memberitahu pihaknya bersedia untuk mempertimbang membawa masuk pemain baru untuk memperkuatkan pasukan untuk mengharungi pusingan kedua Liga Super.
Menurut Dr. Johan, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan lain selepas perlawanan menentang Kelantan United FC.
“Alhamdulillah buat masa ini coach Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan pasukan sedia ada yang mana tahun ini adalah tahun yang baik dari segi prestasi apabila kita menamatkan saingan pusingan pertama liga di tangga kedua.
Jadi buat masa ini semuanya dalam keadaan baik, tapi selepas perlawanan menentang Kelantan United kami akan berbincang dengan barisan kejurulatihan untuk melihat samada kita perlu memperkuatkan pasukan lagi untuk pusingan kedua,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dr. Johan bagaimanapun menegaskan bahawa Cheng Hoe memberitahu beliau masih berpuas hati dan percaya dengan kemampuan pemain-pemain.
Malah beliau juga yakin pemain sedia ada mampu membawa Selangor ke tahap tertinggi pada musim ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media kelab itu umum jenama minuman tenaga antarabangsa Extra Joss sebagai rakan strategik untuk tempoh setahun.
Dalam pada, Dr. Johan berkata kerjasama dengan Extra Joss ini adalah sejajar dengan visi Pengerusi Selangor, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu melebarkan sayap kelab itu ke peringkat antarabangsa.
“Kami bersyukur dapat bekerjasama dengan Extra Joss kerana mereka adalah jenama antarabangsa sekaligus sejajar dengan visi RMS yang berazam mahu meletakkan Selangor di ruang antarabangsa, terutamanya di Asia.
Jadi kami melihat kerjasama ini langkah yang baik untuk bawa Selangor ke luar negara.”