Nilai Kelantan susut teruk, dari RM6.8 juta pada 2020 kepada RM1 juta kini
Pasukan Kelantan FC yang terpalit dengan beberapa kemelut sejak kebelakangan ini kini dikatakan hanya bernilai RM1 juta setelah kenyataan itu dikeluarkan oleh pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd.
Menurut Effendi Jagan Abdullah, pemilik pasukan tersebut tidak boleh menjual dengan tanda harga lebih tinggi daripada itu kerana apabila diperhatikan dari awal, tiada peningkatan atau kemajuan yang ditunjukkan oleh pasukan tersebut.
Pelbagai faktor yang boleh menyebabkan sesebuah pasukan itu menghadapi susut nilainya antaranya soal imej pasukan tersebut, hutang yang dimiliki, jumlah gaji yang tidak terbayar dan tindakan tata tertib yang dikenakan oleh FAM serta FIFA.
Selain itu, prestasi pasukan itu juga menurun sejak pemilik, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengambil alih pasukan tersebut dan ia boleh dilihat apabila masih belum ada apa-apa perubahan setelah mereka layak ke Liga Super sehingga kini, dengan berada di kedudukan tercorot liga.
Terdahulu, ketika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyerahkan The Red Warrior (TRW) kepada Zamsaham, nilainya agak tinggi iaitu sebanyak RM6.8 juta dan kini setelah mengalami banyak masalah dalaman ia telah turun kepada RM1 Juta sahaja.
Kelantan kini mempunyai nilai pasaran yang sangat rendah berbanding pasukan-pasukan di Liga Super yang lain.
Jika ingin dibandingkan dengan beberapa pasukan lain antaranya Johor Darul Ta’zim (JDT), ia sememangnya perbandingan yang sangat jauh kerana seperti yang diketahui, JDT kini merupakan salah satu pasukan yang paling berjaya di Asia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Nilai pasaran JDT kini telah mencecah sehingga RM43 juta dan ia merangkumi semua nilai hasil daripada kecanggihan infrastruktur, kemewahan fasiliti serta pemain-pemain yang berkualiti menyarung jersi pasukan tersebut.
Selain itu Selangor juga menjadi pasukan kedua termahal dalam liga super di mana jumlah nilai pasaran mereka mencecah RM24 juta.
Dengan pemain-pemain import dan tempatan yang berkualiti, wajar dikatakan pasukan ini stabil dan mampu maju mengejar JDT pada masa akan datang.
Kelantan merupakan salah satu pasukan yang boleh dikatakan mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi dengan pelbagai kejayaan gemilang satu ketika dahulu sehinggakan ramai pemain hebat lahir daripada pasukan tersebut.
Namun kini dengan nilai yang semakin rendah dan masalah dalaman yang berlaku, ibarat kapal tanpa nakhoda, dapatkah pemilik baharu pasukan tersebut menyelamatkan ia daripada terus hanyut dan berkecai.