Siapa lagi akan ikut jejak Cifu keluar dari Kelantan FC?
Miguel Cifuentes yang tamat kontraknya dengan Kelantan, kini telah menjawab teka teki daripada peminat bahawa beliau telah sah menandatangani kontrak bersama Sabah FC.
Bekas pemain sayap kelab liga Sepanyol, Malaga itu sah akan bermain dengan Sabah setelah jendela perpindahan dibuka pada 5 Julai ini untuk pendaftaran pemain baharu.
Pemain yang dipanggil Cifu oleh para peminat itu juga telah bermain sebanyak 15 perlawanan liga dan juga piala FA sebelum ini dengan menjaringkan 5 gol dan 2 bantuan gol sepanjang bersama The Red Warriors (TRW).
Sudah separuh jalan Liga Super berlangsung, namun kelibat Kelantan masih tidak dapat dilihat dalam kelompok teratas liga.
Jika dilihat statistik pasukan Kelantan pada musim ini pula, Cifu boleh dikatakan sebagai pemain yang menggerakkan jentera serangan bagi pasukan Kelantan namun setelah pemergiaannya, apa yang bakal terjadi kepada pasukan tersebut?
Akibat daripada permasalahan yang sedang berlaku dalam pasukan Kelantan, tidak mustahil untuk menjangkakan bahawa bakal ada ramai lagi pemain yang berundur daripada menyarung jersi pasukan itu.
Hal ini dapat digambarkan dengan motivasi para pemain yang seakan-akan tampak menurun sewaktu mereka menentang ‘adik’ mereka sendiri iaitu Kelantan United.
Antara kemungkinan pemain yang bakal mengikuti jejak langkah Cifu adalah Mario Arques Blasco iaitru pemain kelahiran Alicante, Sepanyol yang turut bermain 14 permainan dan mencatatkan 2 bantuan gol serta satu gol pada musim ini.
Pemain yang menjadi peneraju pasukan Kelantan itu kini berkemungkinan bakal mengikuti jejak langkah Cifu kerana beliau juga pernah keluar daripada pasukan tersebut pada tahun terdalulu.
Pemain-pemain muda berbakat dalam pasukan ini juga mungkin akan berkelana di luar sekiranya sudah menghabiskan kontrak bersama Kelantan dan lebih tepat pergi ke pasukan-pasukan yang lebih stabil dan membangun sebagai contoh Selangor, Penang dan juga Terengganu.
Mengambil kira kemelut ketika ini yang melanda pasukan Kelantan, pasti ramai yang sudah berfikir-fikir untuk keluar daripada pasukan tersebut untuk mengelakkan mereka juga mengalami nasib yang sama.
Jika perkara ini terus berlaku dan tiada sebarang peningkatan yang ditonjolkan oleh para pemain mahupun pihak pengurusan dalam menangani masalah mereka, Kelantan yang dilihat baru saja mahu kembali bangkit mungkin terpaksa menunggu lebih lama lagi.