Jasa bukan sekadar kenangan, FAM dan PFAM mesti bantu B. Sathianathan
Kerap kali kita mendengar berkenaan isu tunggakkan gaji pemain yang tidak dibayar atas sebab-sebab tertentu namun kini jurulatih B. Sathianathan sudah tidak boleh sabar lagi dengan bekas pasukannya, Sarawak United.
Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, kesnya sudah dibawa ke pihak atasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk berbincang dan mereka telah putuskan bahawa pihak kerajaan negeri serta Sarawak United harus membayar sejumlah gajinya.
Namun sehingga kini B. Sathianathan memaklumkan bahawa pihak di sana tidak mengendahkan apa yang disarankan oleh FAM dan nekad untuk membawa kes tunggakan gaji ini ke mahkamah sivil dalam tempoh masa terdekat.
Sarawak United berhutang dengan jurulatih berusia 65 tahun itu mencecah hampir setengah juta ringgit membabitkan pelbagai bayaran termasuklah kos rawatan hospital atas masalah kesihatannya.
Perkara ini sewajarnya diketengahkan supaya tidak ada lagi jurulatih mahupun pemain-pemain yang bersungguh untuk menaikkan sukan bola sepak negara merasa tertindas.
Disamping itu, FAM turut perlu memberi perhatian kepada nasib bekas-bekas jurulatih yang banyak menyumbang kepada sektor pembangunan bola sepak Malaysia sebagai contoh, B. Sathianathan yang banyak membantu dari segi kejurulatihan skuad kebangsaan suatu ketika dahulu
Sepatutnya kes sebegini harus dipadang tegas oleh FAM bersama Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mana masing-masing berperanan untuk memantau masalah tunggakan gaji tidak kira melibatkan pemain mahupun kejurulatihan sesebuah pasukan di Malaysia ini.
Malah, sejak kebelakangan ini kita boleh lihat sendiri bahawa banyak pasukan yang sudah mula sedikit demi sedikit timbul dengan krisis tunggakan gaji.
Hal ini secara tidak langsung dapat mengeruhkan lagi kancah boleh sepak tempatan.
Bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu telah menamatkan kontrak membabitkan persetujuan bersama Sarawak United atas faktor kesihatan pada 12 Jun tahun lalu.
Tambahan, B. Sathianathan pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada 2010, 2012 dan 2017, yang mana ketika itu dia mengendalikan 3 kelab berbeza iaitu Kelantan FA, ATM dan juga Felda United.