‘Messi Vietnam’ bebas dari Pau FC

141

Digelar sebagai ‘Messi Vietnam’, Nguyen Quang Hai telah menamatkan kontrak dengan kelab Perancis, Pau FC atas sebab kurang diturunkan dan sekarang sudah tiada ikatan dengan mana- mana kelab.

Pemain tengah yang lincah itu dikatakan dibebaskan awal daripada kontrak dan sudah boleh dibida oleh mana-mana pasukan setelah 30 Jun ini.


Menurut statistik, jumlah minit yang dimainkan oleh Quang Hai semasa bersama kelab itu adalah 845 minit dan dakam 20 perlawanan.

Hasil daripada kesemua penampilan itu, Quang Hai hanya berjaya menjaringkan satu gol sahaja.

Pada pertengahan bulan Jun ini, di mana rata-rata liga di Asia Tenggara berhenti seketika untuk memberi ruang buat aksi persahabatan skuad kebangsaan, jurulatih baru pasukan Vietnam, Philippe Troussier berasa lega Quang Hai tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

Namun kini setelah mendengar berita pemergian Quang hai daripada Pau FC, banyak pasukan dari liga domestik Vietnam sudah mula berminat untuk melamar ‘Messi’ mereka itu dan tidak terlepas juga pasukan-pasukan daripada Indonesia yang sudah mula mencuba untuk mendapatkannya.

Dikhabarkan bahawa seluruh pasukan di Indonesia cuba untuk mendapatkan khidmat pemain itu bagi memperkuat barisan tengah pasukan mereka dan antaranya adalah Persija Jakarta.

Namun, mengapa tiada ura-ura pasukan daripada Liga Super yang mahukan khidmat pemain ini? Adakah pasukan di Malaysia kurang berminat dengan pemain-pemain daripada ASEAN?

Jika dilihat, para pemain ASEAN dari segi harga mereka lebih murah berbanding pemain-pemain dari Eropah dan Amerika Selatan.

Sebagai contoh, pemain-pemain daripada benua ini juga mempunyai persamaan dari segi corak permainan dan juga berkongsi budaya bola sepak yang sama.

Berbanding dengan pemain-pemain yang berasal daripada luar seperti Eropah dan Afrika, mereka kurang faham tentang strategi dan corak permainan di rantau ini, jadi proses adaptasi dan mendapatkan keserasian sesama ahli pasukan akan sedikit lambat.

Antara pasukan yang mungkin boleh bersaing untuk mendapat Quang Hai adalah Terengganu dengan menggugurkan satu slot pemain import mereka iaitu Argzim Redzovic.

Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kreativiti permainan di bahagian tengah Terengganu, dan di samping itu Argzim Redzovic pula hanya bermain 19 perlawanan sahaja sepanjang ketibaannya di skuad penyu itu sejak 3 tahun lalu.

Selain itu, pasukan Penang FC juga boleh merekrut masuk Quang Hai dengan kekosongan slot import berbaki dua tempat lagi, mungkin pengendali skuad itu dapat memikirkan bagi membawa masuk pemain lincah ini.

Untuk rekod, Quang Hai kini hanya menanti sehingga hujung bulan ini untuk mengakhiri kontraknya bersama kelab divisyen dua perancis itu.