Walaupun dalam prestasi terbaik di Liga Super, namun Hong Wan gagal pikat KPG

977

Semalam ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-Gon (KPG) telah mengumumkan senarai 27 pemain untuk kem latihan pusat Harimau Malaya bagi mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 14 dan 20 Jun ini.

Tidak dapat dinafikan senarai pemain yang diumumkan telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada peminat yang ada bersetuju dan tidak terlepas juga ada yang tidak bersetuju kerana merasa ada pemain yang lebih layak tidak dipanggil.


Antara pemain yang menjadi tumpuan adalah pemain tengah sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Hong Wan yang hanya tersenarai dalam senarai bersedia dan bukannya dalam senarai pasukan yang akan menyertai kem latihan pusat.

Ini kerana sebelum ini pemain berusia 23 tahun itu dijangka akan mendapat panggilan dari pengendali dari Korea Selatan itu apabila beliau mempamerkan aksi yang cukup cemerlang dan diturunkan dalam setiap perlawanan pada musim ini.

Baru memasuki separuh musim, Hong Wan sudah pun mengumpul sebanyak 1,057 minit permainan dalam saingan Liga Super dan juga Piala FA.

Hal ini membuktikan bahawa dia merupakan seorang pemain yang berkebolehan dan sudah beradaptasi dengan gaya permainan yang ditetapkan bagi membantu skuad Harimau Selatan itu dalam setiap perlawanan yang diturunkan.

Dibandingkan dengan rakan sepasukannya yang dipilih oleh untuk ke kem latihan iaitu Syamer Kutty, sepanjang musim ini dia hanya diturunkan dalam enam perlawanan sahaja dan mempunyai jumlah minit permainan terkumpul 147 minit sahaja.

Disamping itu, pemain kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu juga hanya memanaskan bangku simpanan sahaja selepas pulih dari pembedahan.

Selain itu, jika dapat kita lihat statistik dengan seorang lagi pemain muda yang bermain di posisi sama iaitu Syahir Bashah yang bermain bersama Selangor FC tidak mempunyai minit permainan yang cukup.

Ini kerana sejak menyertai Gergasi Merah, Syahir hanya diturunkan dalam 11 perlawanan sahaja dan hanya mengutip 46 minit permainan sahaja, sekaligus jelas memperlihatkan Hong Wan lebih layak berbanding pemain ini.

Disebalik statistik yang cukup baik ini, ia tetap tidak dapat menarik perhatian pengendali skuad negara itu kerana mungkin beliau ada sebab-sebab tertentu menyebabkan Hong Wan tidak dipanggil kali ini.

Tidak dapat dinafikan, Pan-gon kini mempunyai ramai pemain-pemain berkualiti yang boleh dipilih dan pastinya pemain yang dipilih adalah pemain yang dilihat mampu dan sesuai dengan falsafah dan taktikal yang ingin diterapkannya.

Apa pun kita berharap satu hari nanti peminat dapat melihat juga Hong Wan beraksi bersama skuad Harimau Malaya.