Kenakan ‘transfer ban’ atau potong mata liga? FAM perlu lebih tegas dengan Kelantan FC
Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-kata yang dikeluarkan untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Kelantan FC.
Ia berikutan baru-baru ini Zamsaham telah mengadakan sesi soal jawab bersama peminat bagi menjelas dan menjawab segala pertanyaan mengenai isu-isu yang melanda kelab itu terutamanya membabitkan isu tunggakan gaji.
Pada sesi tersebut, ahli perniagaan dari Johor itu mengakui menahan separuh gaji pemain dan tidak membayar KWSP dan Socso pemain membuatkan ramai yang berang pada masa sama simpati dengan nasib pemain-pemain The Red Warrior.
Bukan sahaja pemain kelab itu sahaja berdepan masalah gaji, tetapi juga bekas pemain yang masih lagi menunggu pihak kelab melangsaikan tunggakan gaji mereka termasuk Nik Akif Syahiran.
Nik Akif menerusi ejennya Joe Berbatov telah meninggalkan komen di laman Facebook rasmi Zamsaham dengan mengingatkan pemilik kelab itu supaya segera meneyelesaikan bayaran kepada pemain dibawah naungannya bagi mengelakkan tindakan dikenakan kepada kelab itu.
Situasi semasa yang berlaku kepada Kelantan pastinya sudah mendapat perhatian daripada pengelola liga Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mungkin akan mengambil tindakan terhadap kelab itu.
Jika didapati bersalah, FAM boleh mengenakan hukuman ‘transfer ban’ dan juga hukuman potongan mata.
Pada tahun 2020, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikenakan tindakan tatatertib dan dipotong tiga mata daripada Liga Premier setelah gagal melunaskan bayaran gaji kepada para pemain.
Pada musim lalu, pasukan Perak FC turut dikenakan kedua-dua hukuman itu berikutan mengalami masalah kewangan yang parah sehingga hampir menguburkan pasukan itu dari kancah Liga Malaysia sebelum diselamatkan oleh XOX Berhad.
Kini seluruh peminat bola sepak sedang menanti tindakan yang akan diambil oleh Jawatankuasa Tataterbit FAM terhadap Kelantan dalam masa terdekat ini.
Situasi yang berlaku di Kelantan ketika ini umpama ‘telur dihujung tanduk’ yang mana sekiranya mereka tidak dapat menyelesaikan isu dalam masa terdekat, perancangan mereka untuk merombak pasukan pada jendela perpindahan kedua mungkin tidak dapat dilakukan.
Jika ia berlaku, pastinya kelab itu akan terus terjerumus dalam masalah dan mungkin akan terus kekal di tangga tercorot sehingga hujung musim.
Sementara itu, bukan Kelantan sahaja yang berdepan masalah gaji, tetapi Sarawak United FC dan Melaka United FC turut berdepan masalah sama yang mana sehingga kini isu itu masih belum selesai dan kedua-dua kelab itu tidak dibenarkan untuk bermain di Liga Super pada musim ini.
.