Pelantikan Hans Isaac sebagai pengerusi PSM cetus pertikaian

487

Kecoh di media sosial baru-baru ini dengan pelantikan selebriti dan penggiat seni terkenal tanah air, Datuk Hans Isaac sebagai pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi sesi 2023/2025.

Pelantikan Hans Isaac itu diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan hala tuju organisasi tersebut dapat erus maju berdasarkan objektif yang telah ditetapkan.


Hans Isaac merupakan salah seorang daripada 16 calon yang dipilih dari sektor korporat, persatuan sukan dan sektor kerajaan bagi menerajui induk organisasi PSM.

Di samping ramai pihak yang bersetuju dengan pelantikan pelakon berusia 52 tahun itu, namun wujud juga segelintir yang individu yang tidak melihat sisi kepimpinan dalam diri beliau untuk mempengurusikan PSM.

Ada yang mengatakan ia hanyalah lantikan politik disebabkan sebelum ini untuk rekod beliau telah memenangi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti 2022.

Untuk pengetahuan umum, Hans Isaac sendiri mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam bidang pengurusan terutama sewaktu dia masih bergiat aktif dalam bidang seni.

Beliau sebelum ini pernah menjadi Pengerusi di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi tempoh April 2019 sehingga Mei 2020 kemudian diganti oleh Zakaria Abdul Hamid.

Dalam pada itu, beliau juga merupakan pemilik syarikat Tall Order Productions Sdn Bhd yang terkenal dalam menghasilkan karya-karya berkualiti.

Tapi, jika dilihat dari sudut pengurusan sememangnya beliau merupakan individu yang layak untuk mengendalikan PSM.

Meskipun beliau sibuk dengan rutin harian sebagai seorang penggiat seni dan individu korporat yang berjaya, beliau seorang pemain golf yang agak hebat.

Pelakon filem Buli itu merupakan antara pemain golf amatur terbaik negara dan pernah menyertai beberapa kejohanan besar termasuk, Turkish Airlines World Amateur Golf Open dan juga Omega European Master.

Berdasarkan rekod sebelum ini, beliau pernah memenangi beberapa pertandingan yang dianjurkan di Kuala Lumpur dan pernah memberitahu pengalamannya bermain golf sejak berumur 18 tahun lagi.

Cintanya terhadap sukan golf juga dibuktikan apabila beliau menjadi satu-satunya selebriti yang mendapat tajaan dari salah sebuah jenama golf terkemuka dunia iaitu Taylormade/Adidas, di mana jenama itu turut menaja bintang golf terkemuka dunia seperti Tiger Wood dan ramai lagi.

Dengan latar belakang korporat dan sukan yang luas, tidak mustahil untuk beliau menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi PSM dengan baik.