Bukan saja belajar bola sepak, Akademi JDT lengkapkan pelatih dengan ilmu akademik
Akademi Johor Darul Takzim (JDT) terkenal dengan ‘scouting’ mereka yang tajam dalam melihat bakat-bakat muda tempatan sehingga berjaya menjadikan mereka bintang di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini tular di media sosial yang melihatkan pemain cilik yang berasal daripada Terengganu, adik Muhammad Aqil yang bermain dengan pemain lebih dewasa dan telah menarik minat Akademi JDT untuk merekrutnya.
Kali ini JDT sekali lagi menunjukkan kemahiran mereka sebagai salah satu pencukil bakat tempatan yang berjaya dan akhirnya merekrut dua orang pemain cilik yang bernama Mohamad Hakimi dan Wawan berasal daripada Mersing, Johor.
Akademi JDT sememangnya menjadi destinasi idaman buat bintang-bintang muda yang ingin menyerlahkan bakat mereka dalam sukan bola sepak.
Jika kita lihat kembali sejak kelab itu ditubuhkan pada tahun 2013 sehingga kini, telah banyak pembangunan dan kemajuan yang dilakukan oleh pemilik kelab iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ).
Namun jangan disangka akademi tersebut hanya menyediakan pemain-pemainnya untuk bermain bola.
Pusat latihan yang serba serbi lengkap dari segi fasiliti latihan ini juga menyediakan pusat penginapan yang selesa buat para pemain di samping menjanjikan pendidikan yang lengkap bagi para pemainnya.
Meskipun tujuan utama akademi tersebut adalah untuk melahirkan bakat muda dalam sukan bola sepak di Malaysia, namun bagi TMJ, akademik juga adalah penting buat para pemain lepasan akademi itu untuk memastikan kejayaan mereka selepas keluar daripada pusat latihan tersebut.
Antara langkah yang sedang diusahakan oleh kelab tersebut adalah untuk mengaturkan satu kursus khas iaitu Diploma Sains Sukan dan Kecergasan bersama-sama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Hal ini sedikit sebanyak memberikan ilmu serta kemahiran yang akan mereka gunakan sepanjang menjadi pemain bola sepak kelak.
Ia juga boleh menjadi ‘pelan kedua’ buat lepasan akademi itu sekiranya karier dalam bola sepak tidak menjadi atau tidak seperti yang diharapkan.
Ini adalah penting kerana tidak semua pemain yang mampu menyara hidup hingga ke usia tua semata-mata dengan karier bola sepak.
Akademi JDT khususnya satu hub sukan yang mampu melahirkan pemain-pemain berkualiti tinggi disebabkan fasiliti dan latihan yang dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman.
Sehingga hari ini ramai pemain-pemain yang berjaya dihasilkan melalui akademi JDT antaranya Aiman Hanapi, Ramadhan Saifullah dan Feroz Baharudin yang masing-masing mempunyai nilai yang tinggi.
Sebagai bukti lain, sehingga kini meskipun pasukan JDT itu sendiri mempunyai pemain daripada pelbagai pasukan namun mereka telah mengecapi pelbagai kejuaraan bersama kerana hakikatnya mereka berlatih dan menimba ilmu di fasiliti yang sama dan duduk dibawah pengurusan yang sama.