Datang dari jauh main untuk Kelantan tapi dilayan begini, lebih baik saya kerja kilang – Rozaimi Rahamat

6,915

Sudah penat dengan apa yang terjadi sehinggakan terfikir untuk berhenti sepenuhnya daripada bermain bola sepak secara professional, bekas penjaga gol The Red Warriors (TRW), Rozaimi Rahamat rela untuk bekerja di kilang bagi menyara keluarganya.

Baru-baru ini kecoh di laman Facebook apabila abang kepada Rozaimi memuat naik ‘screenshot’ perbualan bersama pihak pengurusan gergasi Pantai Timur itu berkenaan status gaji yang sudah tertunggak sejak beberapa bulan yang lalu.


Ditemu bual oleh Harimau Malaya, pemain berumur 27 tahun itu menyatakan rasa kecewanya apabila terpaksa menagih sendiri duit hasil titik peluhnya sehinggakan kini sudah rasa tawar hati untuk kembali beraksi di atas padang.

“Saya fikir selepas ini rasa macam nak berhenti (bola sepak) pun ada, datang dari jauh tinggal anak dan bini dan dilayan pula sebegini.

Lebih baik saya kerja kilang, sekurang-kurangnya kita tahu berapa kita dapat bulan-bulan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Di sebalik kisah pahit yang dihadapi oleh Rozaimi, dia turut berkongsi kisahnya ditanggung isteri sepanjang tidak dibayar gaji oleh pasukan Kelantan.

Beliau juga meluahkan rasa tidak puas hati apabila digertak oleh pemilik kelab tersebut supaya melakukan ‘mutual termination’ atau erti kata lain berhenti atas pesetujuan bersama bagi mendapatkan gaji penuhnya.

Namun disebabkan rasa tanggungjawab dan mempunyai ahli keluarga yang perlu ditanggung, Rozaimi terpaksa mengambil keputusan seberat itu bagi memastikan semua komitmen yang tertunggak dapat dijelaskan selain sudah berasa malu kerana perbelanjaan seharian ditanggung oleh isterinya sepanjang tidak digajikan pasukan.

“Pemilik TRW bagitahu saya, kalau nak gaji penuh kita ‘mutual termination’. Kalau saya ikut kehendak bermain bola tak fikir anak isteri saya, saya teruskan saja bermain tapi sekarang komitmen makin tinggi.

Tapi mahu atau tidak saya kena juga fikir pasal anak, isteri dan juga keluarga saya berbanding karier bola sepak.”

Bagi seorang pemain bola sepak sedia maklum bahawa sesetengah mereka sememangnya mempunyai nilai pasaran dan gaji yang besar namun tidak bagi para pemain yang berada di kelab ini disebabkan hal-hal dalaman yang tidak selesai sehingga kini.

Sedikit statistik Rozaimi yang berpindah ke pasukan Kelantan awal musim ini, beliau sudah bermain sebanyak empat perlawanan liga termasuk Piala FA dan sehingga kini beliau masih tidak terikat kontrak dengan mana-mana kelab.