Saya mahu pemilik Kelantan FC mohon maaf atau saya buat laporan polis! – Rozaimi Rahamat
Rozaimi Rahamat iaitu bekas penjaga gol Kelantan FC musim ini tuntut pemohonan maaf secara terbuka daripada pemilik pasukan tersebut, Norizam Tukiman atau Zamsaham selepas dituduh memboikot pasukan itu.
Sebelum ini tersebar satu rakaman perbualan melibatkan Rozaimi dengan Zamsaham yang membincangkan tentang gaji tertunggak sejak beberapa bulan dahulu.
Rozaimi memberi tahu bahawa dia dituduh memboikot pasukan tersebut semasa hendak melawan pasukan Sabah FC pada April lalu.
Menurut pemain berusia 27 tahun itu, kini dia hanya mahu usahawan tersebut membuat satu permohonan maaf secara terbuka bagi membersihkan semula namanya yang sudah tercalar dek kontroversi ini.
“Macam sekarang ini memang sudah tidak sedaplah, sebab orang dengar saya nak boikot pasukan.
Saya cuma mahukan hak saya, gaji saya dan jika mana-mana pihak pengurusan pasukan lain yang dengar pasti akan cakap saya ini seorang pemain yang teruk dan tidak mahu mengambil saya lagi,” ujar Rozaimi.
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam rakaman suara yang tersebar di merata paparan media sosial tersebut, kedengaran jelas pemilik pasukan The Red Warriors (TRW) itu bertindak memarahi dan menggunakan kata-kata kesat kepada Rozaimi sehingga menggertak supaya dirinya tidak pergi ke Sabah bagi mendapatkan gajinya yang penuh sekaligus keluar daripada pasukan.
Rozaimi yang sedang dalam keadaan terdesak dan mahukan gajinya terpaksa membuat keputusan sedemikian bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang timbul.
Selain itu, pemain yang berasal dari Johor itu juga memberitahu bahawa dia bakal membuat laporan polis atas tuduhan fitnah yang dilontarkan kepadanya sekiranya tiada permohonan maaf diterima sehingga hari Ahad ini daripada pemilik kelab tersebut.
“Saya harap pemilik TRW buat satu permohonan maaf terbuka atau saya akan buat laporan polis atas tuduhan fitnah ini yang menjejaskan karier saya sehinggakan susah untuk mencari kerja.
Sebelum ini juga saya sudah mesej pemilik TRW berkenaan perkara ini namun pihak mereka block saya. Saya pun cakap dekat mereka yang saya hanya bagi masa sehingga ahad ini, jika tiada apa-apa memang saya akan buat laporan polis.”
Tambahan pula, sehingga kini Rozaimi memaklumkan kesemua gaji yang tertunggak sudah dijelaskan namun masih ada berbaki pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Socso pemain tersebut masih belum diselesaikan oleh pengurusan kelab tersebut.
Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan oleh pihak pengurusan kerana isu sudah lama dimainkan dan diharapkan juga pasukan Kelantan kembali pulih seperti zaman-zaman kegemilangannya.