Ada yang mesej pihak pengurusan Sarawak United hari-hari pasal gaji, tapi tiada respon – Sharbinee Allawee

2,746

Bekas penjaga gol Sarawak United FC, Sharbinee Allawee berharap pihak bertanggungjawab di kelab itu dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang dihadapinya dan rakan-rakan lain.

Katanya, para pemain tidak pernah putus cuba untuk berkomunikasi dengan pihak pengurusan tentang perkara itu namun malangnya usaha mereka tidak dilayan.


“Masalah ini harus diselesaikan dengan segera kerana jumlahnya bukan sedikit, harap pihak berwajib ambil tanggungjawab dan selesaikan perkara ini, ada antara kami yang memang amat memerlukan wang.

Ada antara kami yang memang hari-hari mesej mengenai perkara ini, tetapi buat masa ini tiada respon dari pihak terbabit,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata, ketika bermain di kelab itu, beliau hingga terpaksa mengeluarkan duit simpanan sendiri untuk kelangsungan hidup.

Sharbinee kini hanya menyerahkan isu itu kepada pihak Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk diambil tindakan lanjut.

“Buat masa ini kami bergantung kepada PFAM saja untuk tindakan, harap mereka dapat lakukan sesuatu.

Pihak yang bertanggungjawab pula janganlah lepaskan tanggungjawab begitu saja, selesaikanlah masalah ini dan jangan buat ia berlarutan.”

Beliau menganggap masalah ini berlaku disebabkan ada individu dalam pasukan itu yang tidak jujur dengan dana yang diperuntukkan.