SMK Ibrahim Fikri bukan saja mahu lahirkan pemain hebat, tetapi juga mempunyai sahsiah baik – Syed Azla

893

Ketua Jurulatih skuad B-14 SMK Ibrahim Fikri, Syed Azla Syed Muhamad menyifatkan matlamat jurulatih di situ adalah untuk melahirkan seorang pemain yang bukan sahaja hebat tetapi mempunyai sahsiah diri yang baik.

Katanya, latihan di SMK Ibrahim Fikri menitikberatkan aspek teknikal sebagai aspek utama sebelum menerapkan kemahiran taktikal, psikologi dan juga motivasi.


“Latihan kita di SMK Ibrahim Fikri ini sebenarnya sama dengan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), kita titik beratkan dari segi teknikal, dan selepas itu barulah kita pergi kepada taktikal, psikologi dan motivasi.

Satu lagi, kita di sini ada visi tersendiri iaitu bukan saja mahu melahirkan pemain bola yang hebat dan boleh mewakili Terengganu tetapi juag mempunyai sahsiah yang baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, sebagai jurulatih pemain muda, beliau mementingkan pemahaman pemain terhadap bola sepak manakala hasil adalah perkara kedua.

Katanya, pemain yang faham permainan akan lebih matang dan boleh menarik perhatian jurulatih pasukan atasan.

“Di sini hasil adalah nombor dua, yang pertama ada kita mahu pemain faham supaya apabila mereka keluar dari sini mereka dapat bermain di peringkat Piala Belia, Piala Presiden, Liga Simpanan atau Liga Super.

Tak ada guna jika jadi johan tetapi tak dapat panggilan pasukan atas, sebab itulah kita fokuskan pemahaman teknik.”

Syed Azla adalah antara jurulatih yang pernah melatih bakat muda yang pernah tular baru-baru ini, Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi selepas disambar oleh juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).