Saya yakin kita mampu layak ke separuh akhir Piala Asia B-17 – Christopher Raj

179

Pengurus pasukan kebangsaan B-17, Christopher Raj menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan skuad negara untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Asia B-17 2023.

“Saya yakin kalau kita bermain dengan baik dan ambil peluang, dengan sikap positif dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, kitab oleh mara ke separuh akhir. Saya yakin,”

katanya.

Christopher atau mesra dengan panggilan Chris juga tidak melihat dua kekalahan pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Uzbekistan dan Arab Saudi baru-baru ini.


“Selepas dua tahun kita buat persedian sejak November 2021. Walaupun kita kalah dalam dua perlawanan menentang Uzbekistan dan Arab Saudi, ia hanya sekadar perlawanan persahabatan dan kita ambil pengajaran dan cuba perbaiki segala kelemahan kita.

Apa pun saya bangga dengan sikap dan semangat pemain-pemain. Kini ia semuanya tentang keyakinan diri dan perlawanan pertama menentang Yemen kita akan bermain bermati-matian untuk mendapatkan keputusan positif.”

Skuad kendalian Osmera Omaro telah diundi dalam Kumpulan A yang mana mereka akan membuka tirai kempen Piala Asia menentang Yemen pada 15 Jun diikuti perlawanan kedua berdepan Thailand pada 18 Jun dan perlawanan terakhir menentang Laos pada 21 Jun.

Dalam pada itu, beliau juga mahu pemain menjadikan sasaran ke separuh akhir sebagai motivasi buat mereka kerana jika berjaya, mereka akan layak ke Piala Dunia B-17 2023 yang akan berlangsung pada November depan.

“Saya kata kepada pemain-pemain, tidak pernah dalam sejarah Malaysia mana-mana pemain layak ke Piala Dunia tidak kira peringkat senior atau sebagainya, dan tahun ini adalah tahun terakhir di mana Piala Dunia dimainkan secara dwi tahunan.

Jadi saya katakan kepada pemain, jika mereka ingin buat sejarah, kali ini mereka kena buat sejarah kerana ia bukan sahaja akan diingati oleh negara tetapi juga untuk untuk sejarah diri sendiri.”

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa skuad B-17 ini akan terus dikekalkan kerana Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah menetapkan bahawa skuad ini adalah skuad yang akan ke temasya Sukan SEA 2027 dan juga untuk pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Amerika Syarikat.