Malaysia B-17 bawa gelaran ‘unbeaten’ ke Piala Asia B-17 2023
Pasukan kebangsaan B-17 telah menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan apabila berjaya muncul sebagai juara kumpulan dengan rekod bersih tanpa kalah di kelayakan Piala Asia B-17 2023.
Bagaimanapun ia bukan jaminan untuk anak buah Osmera Omaro berasa selesa kerana sembilan lagi pasukan yang bermain di pusingan kelayakan itu turut mempunyai rekod bersih iaitu Jepun, Arab Saudi, Yemen, Australia, Qatar, Vietnam, Tajikistan, Iran dan Uzbekistan.
Kini skuad Harimau Muda sudah tiba di Bangkok, Thailand untuk menghadapi kejohanan Piala Asia B-17 2023 yang akan berlangsung dari 15 Jun hingga 2 Julai ini.
Sasaran utama adalah untuk cuba melayakkan diri sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir kerana empat pasukan terbaik di kejohanan itu akan layak secara automatik ke kejohanan Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung pada November depan.
Kini dengan status juara Kumpulan B dengan rekod tanpa kalah mari kita imbas beberapa perlawanan sepanjang tempoh kejohanan tersebut berlangsung memandangkan tinggal beberapa hari sahaja lagi bakal bermula kejohanan berprestij itu berlangsung.
Sepanjang kempen kelayakan berlangsung, skuad negara telah berjaya menumbangkan pasukan pilihan dalam kumpulan dengan jumlah gol yang besar sebagai contoh menang ke atas Palestine dengan jaringan besar 4-0.
Meskipun pasukan Indonesia menunjukkan belangnya pada perlawanan pertama mereka dengan membelasah Guam 14-0 dan Malaysia hanya mampu seri satu sama, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat juang Harimau Muda negara.
Skuad negara kemudian terus mempamerkan aksi terbaik mereka apabila berjaya menewaskan Indonesia 5-1 dan mengejutkan ramai apabila menumbangkan gergasi Timur Tengah, UAE 3-2.
Berdasarkan prestasi yang ditonjolkan oleh para pemain muda ketika ini, sasaran untuk mara ke separuh akhir tampak mampu dicapai.
Ini kerana skuad ini sudah membuat persiapan selama dua tahun dan mengharungi banyak perlawanan serta memperlihatkan peningkatan yang cukup positif dari semasa ke semasa.
Walaupun baru-baru ini mereka tewas dua kali dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 di tangan Uzbekistan dan Arab Saudi, namun mereka telah membuktikan bahawa mereka mampu memberi saingan sengit kepada pasukan gergasi.
Osmera turut meluahkan keyakinannya terhadap pemainnya dan percaya jika mereka dapat bermain dengan permainan sebenar mereka dan tiada kesilapan mudah dilakukan, impian untuk ke Piala Dunia B-17 mampu dicapai.