Perdana Menteri menghargai pencapaian menakjubkan pasukan bola sepak Cerebral Palsy negara
Realitinya sukan membabitkan atlet kelainan upaya (OKU) sering dipanggil sepi dan tidak mendapat perhatian dan juga liputan meluas daripada pihak media dek tidak popular.
Namun apa yang menakjubkan mengenai atlet para ini mereka mempunyai semangat juang yang cukup tinggi dan sering membanggakan nama Malaysia di persada antarabangsa dan contoh terbaik adalah apabila pasukan bola sepak Cerebral Palsy (CP) negara berjaya meraih pingat emas di Sukan Para ASEAN 2023 (APG 2023) baru-baru ini.
Kemenangan ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan peminat bola sepak negara selepas aksi hambar yang dipamerkan oleh skuad Harimau Malaya di temasya Sukan SEA 2023 baru-baru ini.
Menariknya, kejayaan meraih pingat emas di APG ini sekaligus menamatkan kemarau pingat emas lebih 10 tahun apabila mereka berjaya menewaskan musuh tradisi Indonesia di perlawanan akhir.
Kejayaan skuad bola sepak CP negara turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mengucapkan tahniah buat skuad bola sepak CP dan seluruh kontinjen para Malaysia yang telah mempamerkan prestasi cemerlang pada edisi kali ini.
Anwar Ibrahim dalam kenyataan di media sosialnya memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan pasukan kendalian Asnan Md Zuki apabila mereka pulang ke tanah air nanti dan berharap agar skuad itu dapat meneruskan momentum kecemerlangan mereka untuk edisi akan datang.
Detik bersejarah skuad bola sepak CP negara berakhir dalam aksi yang cukup dramatik apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa sebenar untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Pemain negara dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menang 3-1 sekaligus mengesahkan pingat emas menjadi milik mereka.
Diharap dengan kemenangan ini dapat membuka mata orang ramai untuk turut memberi perhatian dan memberi sokongan buat skuad bola sepak CP termasuk atlet para yang lain supaya mereka ini tidak terpinggir walaupun banyak menyumbang kepada negara.
Kejayaan skuad bola sepak CP ini juga boleh dijadikan sebagai pembakar semangat buat pasukan kebangsaan B-17 yang akan memulakan kempen Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand bermula 15 Jun ini dengan misi mahu mara ke peringkat separuh akhir.
Sementara itu, ini merupakan penyertaan kali ketika skuad bola sepak CP ke APG dengan kali pertama menyertai temasya itu pada tahun 2013 di Myanmar.
Selain itu, ia sepatutnya membuka mata para peminat sukan diluar sana untuk memberi fokus dan sokongan yang jitu terhadap skuad ini kerana ia kini sudah menjadi salah satu prospek emas bagi temasya APG yang akan datang.