FAM harapkan 20,000 penyokong turun ke stadium untuk sokong Harimau Malaya – Noor Azman
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Noor Azman Rahman berharap sekurang-kurangnya 20,000 penyokong dapat memenuhi stadium bagi menyaksikan dua perlawanan persahabatan Malaysia menentang Solomon Islands dan juga Papua New Guinea.
Katanya, pembelian tiket pada saat-saat akhir kebiasaannya lebih rancak dan beliau berharap tempoh dua hari ini lebih ramai peminat yang akan membeli tiket untuk perlawanan tersebut.
“Kapasiti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah lebih kurang 30,000 penyokong, hari ini jualan tiket sudah hampir mencecah 5,000.
Ada dua hari lagi sebelum perlawanan, dan kebiasaannya jualan tiket pada saat-saat akhir boleh cecah, kita harapkan sekurang-kurangnya 20,000 penyokong hadir saksikan perlawanan,”
katanya.
Beliau berharap, Festival Harimau Malaya yang akan dianjurkan bersempena dengan dua perlawanan itu boleh menarik minat lebih ramai orang untuk hadir.
Setakat hari ini, FAM mengumumkan bahawa sebanyak 4,153 jumlah tiket yang terjual untuk perlawanan menentang Solomon Islands.
Dalam pada itu, Noor Azman berkata bahawa pelbagai acara menarik yang akan disediakan pada Festival Harimau Malaya terutamanya perlawanan antara bekas pemain kebangsaan menentang bekas pemain Terengganu.
“Pada petang 14 Jun ketika hari perlawanan, akan dianjurkan perlawanan persahabatan bekas pemain negara menentang bekas pemain Terengganu.
Ramai bekas pemain ternama yang akan turut serta seperti Safee Sali, Hairuddin Omar, Sharbinee Allawee, Rudie Ramli, Ashari Samsudin, Syamsuri Mustafa dan ramai lagi.”
Jelasnya, ini adalah salah satu usaha FAM untuk mendekatkan lagi diri dengan peminat terutama di kawasan Pantai Timur.