Saya tak gembira dengan undian Piala Asia 2023, tapi mana-mana kumpulan pun susah – Matthew Davies

1,277

Pemain pertahanan kebangsaan, Matthew Davies mengakui bahawa dirinya tidak gembira dengan undian Piala Asia 2023 apabila Malaysia diundi bersama-sama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Davies bagaimanapun berkata, beliau juga tidak berduka dengan undian itu kerana menganggap semua kumpulan adalah sukar.


“Ia bukan undian yang mudah, tetapi mana-mana kumpulan pun tidak mudah, jadi saya tidak gembira dan juga tidak berduka dengan undian tersebut.

Walau apa sekalipun, saya yakin kita mampu lakukan sesuatu dalam kumpulan itu,”

katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Solomon Islands esok.

Mengenai perlawanan tersebut, beliau mengakui bahawa penting untuk mendapatkan kemenangan tetapi adalah lebih penting untuk melihat proses peningkatan pasukan.

“Bagi saya kemenangan adalah penting tetapi proses adalah lebih penting, jika kita ikut taktikal jurulatih saya percaya kemenangan akan menyusul.

Tahap pasukan kita semakin baik dan menentang lawan seperti mereka sudah tentu peminat menjangkakan kemenangan.”

Tambahnya, mereka tidak boleh memandang rendah keupayaan Solomon Islands kerana tahap bola sepak di negara itu sedang berkembang baik.