Malaysia ada dua pemain sayap yang hebat, Corbin Ong juga mampu beri ancaman – Felipe Vega Arango
Ketua jurulatih Solomon Islands, Felipe Vega Arango menyifatkan dua pemain sayap negara mampu memberi kesukaran buat pasukannya dalam perlawanan persahabatan menentang Malaysia esok.
Jelasnya, Malaysia mempunyai ramai pemain yang baik, dan semua pemain boleh menjadi ancaman buat pasukannya dalam perlawanan itu.
“Sejujurnya semua pemain boleh menjadi ancaman, mereka ada dua pemain sayap yang yang hebat, saya tak tahu nak sebut nama mereka, mereka juga ada pertahanan kiri yang hebat iaitu Corbin Ong yang mempunyai kaps dan bantuan gol yang banyak.
Tetapi mereka pasukan yang hebat, semua pemain profesional berbanding kami yang hanya seorang saja profesional jadi ia pastinya satu cabaran yang hebat,”
katanya.
Beliau mengakui sudah mengkaji tentang skuad Malaysia tetapi beranggapan semua itu tidak berguna apabila berada di atas padang.
Tambahnya, walaupun Solomon Islands berada lebih tinggi, iaitu 134, dalam ranking FIFA, berbanding Malaysia (138), beliau menganggap ia kerana Malaysia berhadapan lawan lebih sukar di Asia.
Katanya, Malaysia adalah pilihan untuk menang pada perlawanan esok, tetapi berharap pasukannya dapat memberikan cabaran.
Dalam pada itu, penyerang skuad Bonitos, Joses Nawo teruja untuk menentang Malaysia buat kali pertama esok.
“Saya tidak sabar untuk perlawanan esok, saya rasa perlawanan itu akan sukar buat kami tetapi saya percaya kami akan berikan cabaran yang hebat.”
Tambahnya, mereka telah melakukan persiapan yang baik dan akan memberikan yang terbaik pada perlawanan itu.