‘Bagi betis nak peha’, betul telahan TMJ mengenai isu padang
Betul telahan yang dibuat oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris berkenaan tidak banyak pasukan yang mahukan mengeluarkan duit bagi penjagaan padang meskipun penting.
Malah TMJ dalam kenyataannya juga pernah menyuarakan kehairanan dengan sikap pengurusan yang dilihat tidak berusaha untuk meningkatkan kualiti bola sepak kerana sanggup menghabiskan duit untuk perkara yang tidak penting berbanding mempunyai padang sendiri.
Kedah juga antara yang terawal menyambut baik cadangan KBS itu, namun meletakkan syarat kos penukaran tersebut perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak KBS membuatkan ramai yang menyelar kenyataan itu dengan menganggap ‘diberi betis hendak peha’.
Geran yang ditawarkan oleh KBS itu hanya melibatkan kos rumput sahaja dan pihak kerajaan negeri perlu menanggung kos penyelenggaran sebelum dan selepas penukaran rumput tersebut.
Usaha murni KBS bagaimanapun tidak mendapat sambutan apabila Menteri KBS, YB Hannah Yeoh sendiri telah mengesahkan bahawa tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur telah mengambil keputusan untuk menolak geran yang ditawarkan itu.
Bagi Terengganu perkara ini bukanlah berita yang mengejutkan kerana semua sedia maklum bahawa padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) merupakan padang kedua tercantik di Malaysia selepas padang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
SSMZA menggunakan rumput jenis Bermuda yang mana kualiti rumput itu setaraf dengan stadium Piala Dunia di Brazil dan gelanggang bagi Terengganu FC itu juga dijadikan sebagai venue bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pasukan kebangsaan yang bakal menentang Kepulauan Solomon serta Papua New Guinea.
Bagaimanapun untuk Pahang pula tindakan mereka menolak geran tersebut adalah sesuatu yang mengejutkan dan telah mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat kerana rasanya tiada masalah untuk mereka menyelenggara.
Namun timbul cakap-cakap yang mengatakan keputusan untuk tidak menaik taraf padang di Stadium Darul Makmur adalah kerana permasalahan bayaran sewa menjadi punca mereka menolak untuk menerima geran tersebut.
Namun apa yang mengejutkan apabila Kuala Lumpur juga menolak tawaran geran sedangkan sebelum ini pemilik kelab Kuala Lumpur City FC iaitu Azri Azerai menyambut baik cadangan KBS itu dan bersedia untuk menaik taraf padang.
Bagaimanapun entah mengapa mereka secara tiba-tiba menukar fikiran dan mahu mengekalkan rumput sedia ada di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Sementara itu, beberapa negeri lain pula masih dalam proses pertimbangan dan meminta sedikit lagi masa untuk membuat keputusan samada mahu menerima atau tidak.
Ketika ini hanya negeri Sarawak sahaja yang sudah bersetuju dan akan melakukan kerja-kerja penukaran rumput apabila mendapat geran kelak.
Tidak dinafikan kos penyelenggaran rumput jenis Zeon Zoysia sememangnya tinggi iaitu dianggarkan sekitar RM240,000 setahun dan jumlah itu tidak terlalu besar kerana setiap pasukan yang bersaing di Liga Super membelanjakan sekurang-kurangnya RM8 juta ke atas pada setiap musim.
Jadi untuk melabur sekitar RM240,000 setahun sepatutnya tidak menjadi masalah kerana padang yang berkualiti akan meningkatkan prestasi pasukan untuk bermain dengan lebih baik lagi dan pada masa sama dapat mengurangkan risiko untuk pemain mengalami kecederaan.
Sementara itu, Hannah yang mendengar keluhan beberapa negeri mengenai kos selenggara yang kini telah memberitahu bahawa pihaknya akan menawarkan alternatif rumput jenis lain di mana ia bukan sahaja murah untuk diselenggara, tetapi kualiti rumput juga menepati kriteria antarabangsa.
Oleh itu, diharap setiap negeri akan memandang isu ini dengan serius kerana bola sepak di Malaysia semakin berkembang, jadi kualiti padang juga perlu seiring dengan perkembangan semasa.