Bukan jenis cepat koyak, apa dah terjadi dengan Lee Zii Jia?  

308

Pemain badminton perseorangan utama negara Lee Zii JIa sememangnya terkenal sebagai seorang pemain yang cukup kental dan mempunyai ketahanan mental tinggi, namun apa yang membuatkan ramai terkejut adalah apabila beliau membuat keputusan berehat seketika dari dunia badminton.

Zii Jia berkata demikian selepas beliau tersingkir awal dari kejohanan Terbuka Indonesia selepas tewas di tangan pemain India, Lakshya Sen sekaligus menjadi kejohanan kedua berturut-turut beliau tersingkir di peringkat pertama.


Pemain yang pernah merangkul kejuaraan Seluruh England itu turut menyatakan perasaan yang diluahkan itu sudah terbuku lama dan dia mahu berehat serta mencari semula motivasi untuk kembali bermain.

Berdasarkan perlawanan-perlawanan sebelum ini memang dapat dilihat dari raut wajah dan gaya permainan yang ditampilkan tidak konsisten mungkin disebabkan beberapa faktor.

Antara faktor yang mungkin mempengaruhi tindakan pemain muda tersebut adalah desakan peminat yang mahu beliau menjadi yang terbaik dan sering dikatakan ‘the next Chong Wei’.

Sebelum ini Zii Jia pernah berkongsi satu lagu rap yang dinyanyikan olehnya dan isi dalam liriknya memberitahu tentang keraguan dalam jalan yang dipilih ini samada benar atau tidak dan masih perlukah dia berlakon seperti masih bersemangat untuk teruskan.

Dalam sisi lain, wujud segelintir peminat fanatik badminton tanah air yang mengkritik secara keras terhadap prestasi atlet emas negara itu setiap kali gagal untuk memenangi kejohanan yang disertainya.

Sebagai penyokong yang mahukan kejayaan daripada atlet, seharusnya kita perlu ada disetiap jatuh dan bangun seseorang pemain itu agar mereka terus bermotivasi dan berasa semangat disebabkan ada yang menyokongnya dari belakang.

Terdahulu, Zii Jia telah mengambil keputusan untuk keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mengatur sendiri kariernya, namun ia tampak serba tidak kena apabila prestasi beliau semakin merudum dengan kali terakhir beliau menang adalah pada Kejuaraan Asia 2022.

Antara faktor yang menyumbang kepada prestasi tidak konsisten bekas pemain nombor dua dunia itu mungkin kerana ketiadaan jurulatih yang tepat untuk melatihnya.

Bagaimanapun beliau kini sudah melantik jurulatih baru iaitu Wong Tat Meng yang merupakan pilihan yang cukup tepat kerana pengalaman yang cukup luas di peringkat antarabangsa termasuk pernah menjadi jurulatih di Korea Selatan, Indonesia dan Hong Kong.

Mungkin keputusan untuk berehat seketika dari dunia badminton adalah satu keputusan tepat buat Zii Jia untuk beliau lupakan seketika kariernya dan berehat secukupnya supaya beliau akan berada dalam keadaan terbaik dan ‘fresh’ apabila kembali beraksi di gelanggang kelak.