Ailton ada ‘ramuan’ rahsia untuk bantu Kelantan United FC?
Kelantan United FC (KUFC) tagih khidmat Ailton Dos Santos Silva untuk bawa keluar pasukan itu dari kedudukan tercorot bagi baki saingan Liga Super.
Ailton yang berusia 56 tahun itu sebelum ini pernah mengemudi dua pasukan Thailand dan pernah dinobatkan sebagai pengurus terbaik di liga itu pada tahun 2019 semasa mengendalikan pasukan Chiangrai United.
Jurulatih berasal Brazil itu kini diharap dapat menggunakan kepakaran dan kemampuannya untuk meningkatkan prestasi pemain-pemain KUFC selepas pengendali terdahulu gagal melakukannya.
Berdasarkan 14 perlawanan sebelum ini, tidak dinafikan pemain KUFC mampu memberikan saingan kepada pasukan lawan, namun kekurangan kualiti menjadi punca pasukan itu gagal memperoleh kemenangan.
Antara kelemahan yang boleh ditambah baik oleh Ailton adalah dari sudut pertahanan terutamanya kerana jika dianalisis daripada permainan-permainan sebelum ini kegagalan untuk mengawal bola di kawasan sekitar radius gol sendiri menjadikan KUFC mudah untuk ditembusi oleh pemain lawan.
Contoh terbaik adalah ketika menentang Selangor FC baru-baru di mana banyak kesilapan yang dilakukan barisan pertahanan sehingga menyebabkan mereka dibelasah 7-1.
Seterusnya adalah menajamkan lagi bahagian serangan pasukan tersebut meskipun memilik penyerang-penyerang yang baik samada import ataupun tempatan namun masih banyak yang perlu diasah bagi membuahkan hasil setiap kali mendapatkan peluang di hadapan gol.
Berdasarkan statistik serangan yang dilakukan oleh KUFC ketika menentang beberapa pasukan seperti Sri Pahang FC, Terengganu FC dan Perak FC menyaksikan mereka mempunyai purata 11 percubaan untuk setiap perlawanan tetapi ketumpulan di bahagian serangan menyebabkan mereka gagal menjaringkan gol.
Selain itu, mentaliti pemain juga perlu digilap oleh Ailton agar lebih bersedia untuk menghadapi saingan kerana beraksi di Liga Super memerlukan setiap pemain berada pada tahap terbaik dan jika tidak pastinya akan dihukum oleh pihak lawan.
Dengan rombakan pasukan pada jendela perpindahan kedua nanti pastinya KUFC mahu pastikan mereka mampu memperbaiki kedudukan mereka untuk sekurang-kurangnya berada di kedudukan pertengahan liga.
Ketika ini mereka berada di tangga ke-13 dengan kelebihan dua mata dari ‘si abang’ Kelantan FC yang berada di tangga tercorot.