Lee Chong Wei terlebih layak untuk ganti tempat Wong Choong Hann

95

Datuk Lee Chong Wei lebih daripada layak untuk mengisi kekesongan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sekaligus menghidupkan semula kemasyuran BAM.

Bekas pemain badminton negara yang pernah memegang ranking No.1 dunia itu merupakan calon terbaik untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Wong Choong Hann sebagai jurulatih perseorangan negara sekaligus membuktikan yang beliau pemain yang mempunyai kemahiran dan pengalaman yang sangat luas dalam sukan badminton di Malaysia.


Walaupun ada masa ketika dimana LCW menolak pelawaan BAM untuk menjadi jurulatih di institusi itu atas beberapa faktor namun kini sudah tiba masanya beliau menurunkan semua pengalamannya kepada pelapis-pelapis muda yang akan menjadi muka depan bagi sukan badminton negara.

Hal ini kerana jika dilihat masa kini masa depan para pemain perseorangan negara makin hari makin pudar untuk mengejar negara-negara yang suatu masa dahulu berada di bawah Malaysia dalam sukan ini misalnya India.

Beliau yang menjadi idola buat semua pecinta sukan badminton tempatan semestinya akan membuatkan para pemain lebih bersemangat dan bermotivasi untuk bermain.

Melihat daripada rekod-rekod kejohanan lepas pemain perseorangan negara seperti, Lee Zii Jia (LZJ), Ng Tze Yong dan Cheam June Wei rata-rata kandas di pusingan awal dan paling jauh sehingga suku akhir terutama dalam tiga kejohanan berturut-turut yang disertai mereka.

Hal ini sedikit sebanyak menggusarkan ditambah pula dengan pengunduran seketika yang diumumkan oleh pemain perseorangan utama negara iaitu Zii Jia selepas tumpas ke atas pemain dari India iaitu Lakshya Sen.

Sememangnya satu kerugian buat skuad badminton tempatan tambahan pula dia merupakan pemain yang tergolong dalam projek Road to Gold (RTG) yang berperanan untuk menggilap atlet prospek negara bagi memberi kilauan emas pada Sukan Olimpik Paris tahun hadapan.

Jadi, jika LCW dipilih dan bersetuju untuk kembali ke ABM diharapkan agar dapat memulihkan semangat bekas pemain No.2 dunia itu untuk bermain demi negara kerana siapa lagi yang mampu memahami pemain itu.

Zii Jia baru-baru ini mengumumkan untuk berehat sebentar dari dunia badminton setelah kekalahan di beberapa siri kejohanan dan turut meluahkan rasa penat serta sudah tiada keinginan untuk bermain badminton buat masa ini.