Baddrol Bakhtiar bakal kapten baru Sabah FC?

798

Pemain baru Sabah FC, Baddrol Bakhtiar dijangka bakal menggantikan Risto Mitrevski sebagai kapten pasukan baru selepas kontrak pemain dari Macedonia itu tidak disambung.

Walaupun tiada pengesahan mengenai siapakah yang bakal memimpin pasukan di atas padang, tetapi Baddrol yang mempunyai pengalaman sebagai kapten pasukan kebangsaan dan bekas kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilihat antara calon yang sesuai untuk menggalas tugas tersebut.


Malah pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee turut memperkatakan perkara sama iaitu Baddrol mempunyai sifat kepimpinan di dalam dan luar padang.

Sumber foto: Sabah FC Facebook

“Kalau kita tengok Baddrol, beliau merupakan antara pemain yang paling tenang di padang dalam apa sahaja situasi, jadi secara tidak langsung ia akan memberi impak kepada seluruh pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Berdasarkan senarai pemain baru skuad Sang Badak untuk musim ini, Rawilson Batuil akan kekal sebagai naib kapten.

Terdahulu Baddrol baru sahaja tiba di Sabah bersama rakan sepasukan Rizal Ghazali telah pun menjalani latihan pertama mereka bersama rakan sepasukan.

Penghijrahan Baddrol dan Rizal sebelum ini telah mengejutkan dunia bola sepak tanah air terutamanya peminat Hijau Kuning kerana mereka tidak menyangka dua tonggak utama yang setia dengan pasukan itu sejak sekian lama ambil keputusan untuk berhijrah.

Sumber foto: Sabah FC Facebook

Musim ini Sabah berwajah baru selepas melakukan rombakan besar-besaran apabila mereka dilihat ghairah membawa masuk pemain-pemain bintang.

Perubahan yang dilakukan Sabah telah membuatkan peminat bola sepak tempatan terutamanya peminat Sabah akui Liga Super pada musim ini akan menjadi lebih menarik apabila mereka menjangkakan skuad kendalian Ong Kim Swee mampu jadi pencabar utama Top 3.

Ong Kim Swee tidak menyangkal skuadnya mampu cipta kejayaan sekiranya mereka mampu kekal konsisten sepanjang musim ini.

Beliau bagaimanapun tidak mahu peminat meletak harapan terlalu tinggi pada permulaan musim ini kerana setiap pemain perlukan sedikit masa untuk mendapat keserasian sebelum menjadi sebuah pasukan yang ampuh.

Adakah Sabah pada musim ini akan benar-benar menjadi sebuah pasukan gergasi dari Borneo? Sama-sama kita tunggu.