Pendaki Everest, Rafi Kori yakin Hawari Hashim akan dapat dijumpai

255

Pasangan pendaki gunung Everest 2007, Mohd Rafi Kori dan Marina Ahmad menyuarakan keyakinannya bahawa pendaki negara OKU (orang kelainan upaya) pendengaran Hawari Hashim akan dapat dijumpai apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersambung nanti.

Mereka berkata demikian selepas operasi SAR salah seorang pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang telah hilang selepas berjaya sampai ke puncak Everest telah ditamatkan dan akan disambung pada tahun hadapan.


Selain kehilangan Hawari, seorang lagi pendaki negara iaitu  Allahyarham Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub juga tidak bernasib baik apabila meninggal dunia selepas berdepan masalah kesihatan.

“Saya berasa simpati dan sayu dengan peristiwa yang berlaku dan salam takziah kepada keluarga Lt. Kol Awang. Ajal dan maut di tangan Tuhan dan Allah sudah tentukan arwah meninggal di sana.

Dan saya juga duka cita dengan seorang lagi sahabat pendaki kita saudara Hawari yang masih belum dijumpai. Secara rasmi misi pencarian telah berakhir dan akan disambung semula nanti.

Jadi saya masih yakin dan percaya saudara Hawari akan dapat dijumpai kerana apabila musim sudah berubah, ais akan cair jadi mungkin waktu itu mudah untuk dikesan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana baginya ketua ekspedisi dan mereka yang berada di sana yang tahu apa sebenarnya yang berlaku di sana.

Dalam pada itu, Rafi Kori bersama isterinya Marina dan rakan pendaki Persatuan Kembara Negara juga bersedia memberi bantuan dari segi input dan pengalaman untuk pastikan sukan pendakian gunung di luar negara diperkemaskan.

“Saya, Marina dan presiden Persatuan Kembara Negara sudi bersama untuk berkongsi input, pengalaman dan apa jua yang terbaik untuk pastikan sukan pendakian gunung di luar negara dapat diperkemaskan dalam semua perkara.

Mungkin KBS atau pun kerajaan mahu lihat satu SOP terbaik supaya pelancongan pengembaraan ini dapat dijayakan dan dapat diterima baik oleh semua pihak samada dalam negeri atau luar negara.”

Beliau berkata demikian selepas melihat sukan pendakian di negara kini semakin mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.

Sementara itu, bagi yang tidak mengenali pasangan suami isteri Rafi Kori dan Marina, mereka merupakan pendaki Ekspedisi Merdeka De Everest pada 2007 yang mana turut menyaksikan Marina menjadi wanita Malaysia pertama yang berjaya menakluk puncak tertinggi di dunia itu.