Papua New Guinea waspada dengan ancaman Faisal Halim

744

Ketua jurulatih Papua New Guinea, Harrison Kamake mengakui pasukan Malaysia mempunyai ramai pemain berkualiti dan Faisal Halim antara pemain akan diberi perhatian olehnya pada perlawanan esok.

“Kami hormat dengan semua pemain dan kami juga tahu pemain Malaysia mempunyai kualiti terutamanya kapten pasukan (Faisal Halim) dan beberapa lagi yang akan diberi perhatian oleh kami,”

katanya.

Selepas berjaya mengikat pasukan Singapura 2-2 pada perlawanan persahabatan baru-baru ini, Kamake memberitahu anak buahnya kini bersemangat untuk meneruskan rentak kecemerlangan pada perlawanan menentang Malaysia esok.


Tambahnya lagi, keputusan perlawanan esok akan dipengaruhi oleh bagaimana pemain-pemainnya dapat melaksanakan tugas yang diberikan kepada mereka.

“Pemain-pemain semua sudah bersedia dan teruja untuk perlawanan esok dan keputusan perlawanan akan ditentukan menerusi bagaimanapun kami bermain esok.”

Dalam pada itu, kapten pasukan Raymond Gunemba yang pernah berada dalam skuad yang menewaskan Malaysia 2-1 pada tahun 2016 berkata perlawanan menentang Harimau Malaya esok adalah perlawanan yang cukup berbeza.

“Saya rasa pasukan Malaysia lebih baik dari dahulu berdasarkan pemerhatian saya ketika menonton perlawanan mereka menentang Kepulauan Solomon baru-baru ini yang memperlihatkan mereka mempunyai pemain berkualiti.

Ia akan menjadi perlawanan yang sukar tapi saya dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan.”

Tambahnya lagi, walaupun skuad yang dibawa kali ini dibarisi oleh ramai pemain muda, namun beliau yakin dengan kualiti rakan sepasukannya.

Papua New Guinea akan menentang Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 20 Jun (esok).