Hannah Yeoh sahkan RTG ikut kemahuan Azizulhasni Awang
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah mengesahkan bahawa pihaknya telah meluluskan permintaan jaguh basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang untuk persiapannya ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Hannah berkata penyelaras Road To Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam tidak menunggu lama untuk meluluskan kesemua permintaan domestik yang diusulkan oleh Azizulhasni selepas meneliti permintaan itu.
“Permintaan Datuk Azizul telah disampaikan kepada koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam dan kami telah kaji satu per satu.
Dan semuanya telah kami luluskan, tetapi Stuart ada cara penelitiannya tersendiri kepada setiap permintaan, dan akan disampaikan secara rasmi kepada atlet itu,”
ujar Hannah.
Tambahnya lagi, pihaknya memberi perhatian dan keutamaan terhadap permintaan Azizulhasni kerana tidak mahu persiapannya untuk ke Paris tahun hadapan terganggu sekaligus untuk membantu beliau berpindah dan berlatih di sini.
“Kita nak bantu proses perpindahan masuk Datuk Azizul ke Malaysia semula dan untuk pastikan persiapannya tidak terganggu untuk ke Paris pada tahun hadapan.”
Dalam pada itu, Stuart menegaskan bahawa setiap usaha yang dibuat oleh pihak RTG adalah untuk membantu para atlet agar tidak timbul sebarang masalah yang boleh menjejaskan fokus dan latihan mereka bagi menghadapi temasya Olimpik pada tahun hadapan.