ESMT sasar kekalkan kejuaraan di SUKMA 2024 untuk E-Sukan
Selepas berjaya mendominasi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 baru-baru ini, Persatuan Sukan Elektronik Terengganu (ESMT) sudah pun meletak sasaran untuk cuba mengekalkan kejuaraan pada SUKMA edisi ke-21.
Menurut Setiausaha ESMT, Syed Afif Hakimi Tengku Abdillah, mereka akan cuba mengekalkan pungutan dua pingat emas dan satu pingat perak untuk memastikan mereka dapat mengekalkan kejuaraan.
“Sasaran untuk SUKMA edisi akan datang kita mahu kekalkan kejuaraan e-sports yang mana kita sasarkan dua pingat emas dan satu pingat tidak kisah warna apa.
Bagaimanapun untuk edisi akan datang kita berdepan sedikit kesukaran apabila pihak tuan rumah Sarawak telah memperkenalkan permainan ‘racing simulator’ kerana mereka sangat bersedia untuk permainan ini sejak dari awal.
SUKMA ini sama seperti Sukan SEA apabila pihak tuan rumah akan menentukan permainan apa yang akan dipertandingkan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada temasya edisi lalu untuk kategori E-Sukan, sebanyak tiga permainan dipertandingkan iaitu Mobile Legends, Dota 2 dan Pro Evolution Soccer (PES 2020).
Bagaimanapun Syed Afif menyuarakan kebimbangannya apabila permainan PES tidak lagi dipertandingan sebaliknya ia digantikan dengan FIFA.
“Badan induk e-sports Malaysia sudah tetapkan bahawa SUKMA wajib ada dua permainan ini iaitu PUBG dan Mobile Legends, jadi mudah untuk kita buat persiapan untuk dua permainan ini dari awal.
Tapi untuk permainan lain sukar sebab kita tidak tahu permainan apa yang akan dipertandingkan oleh itu sukar untuk kita buat persiapan awal. Contoh kalau SUKMA di Sarawak nanti mereka pertandingkan PES kita ada peluang untuk menang pingat emas tapi mereka sudah tukar kepada FIFA.”
Dalam perkembangan lagi, ESMT akan menyertai dua kejohanan PUBG Mobile yang akan berlangsung pada bulan Julai ini di Kuala Lumpur.
Beliau turut berharap agar badan induk e-sports negara dapat mewujudkan kejohanan atau liga tetap supaya lebih sistematik sekaligus dapat melonjakkan lagi e-sports ini.
“Di Malaysia masih belum ada sebarang kejohanan atau saingan liga tetap dan ini membuatkan atlet tidak tahu samada boleh mewakili negara atau tidak. Badan induk perlu mewujudkan kejohanan atau liga profesional untuk setiap permainan.”
Sementara itu, beliau turut berharap agar satu garis panduan diwujudkan secepat yang mungkin untuk mewakili suara e-sports di Kementerian Belia dan Sukan.