Harap pihak kerajaan dapat wujudkan liga profesional e-sports – Khairuzzaman
Jurulatih Persatuan Sukan Elektronik Terengganu (ESMT), Muhammad Khairuzzaman Mohamed Noor berharap agar pihak kerajaan dapat terlibat dalam e-sports dengan aktif termasuk mewujudkan liga profesional.
Menurut Khairuzzaman, sekiranya liga profesional e-sports dapat diwujudkan ia akan membuatkan karier e-sports lebih terjamin dan boleh dijadikan sebagai karier tetap.
“Saya harap e-sports akan terus berkembang dan maju. Pada masa sama saya juga berharap agar pihak kerajaan dapat mewujudkan liga profesional e-sports sama seperti saingan liga bola sepak.
Ini kerana jika sudah ada liga profesional sendiri karier untuk atlet-atlet muda ini lebih terjamin dan mereka boleh jana pendapatan dan bukannya bermain sekadar suka-suka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Khairuzzaman merupakan jurulatih bagi permainan PUBG Mobile yang mana beliau kini sedang melatih beberapa atlet untuk beberapa kejohanan yang akan berlangsung sepanjang tahun ini.
Selain itu, beliau juga bertanggungjawab dalam persiapan EMST untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak pada tahun hadapan.
“Selain dari menang dalam kejohanan-kejohanan luar yang disertai, saya juga berharap agar pasukan EMST dapat membawa pulang pingat emas dalam permainan PUBG Mobile pada SUKMA akan datang nanti.”
Dalam pada itu, beliau mengakui cabaran menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih apabila terpaksa berdepan dengan karenah-karenah atlet.
Namun beliau mengatasinya dengan mengambil pendekatan menganggap pasukan sebagai sebuah keluarga dan sentiasa bersikap terbuka supaya tidak wujud masalah dalaman.
“Untuk atlet-atlet di bawah bimbingan saya, saya akan pastikan tidak wujud puak-puak dan apa yang dilakukan dibuat sebagai satu pasukan.
Pada masa sama saya juga terapkan elemen kekeluargaan bagi memastikan hubungan antara atlet dan saya seperti sebuah keluarga.”