Alfredo Vera bakal ganti Frank Bernhardt? Adakah sistem KPI jumlah kekalahan akan diguna pakai ke atasnya?
Kelantan FC kini dilihat bakal mendapat pengendali baharu selepas dua jurulatih, Choi Moon-sik yang mengendalikan pasukan itu sejak dari awal musim dan Frank Bernhardt yang menggantikannya tidak menepati jangkaan yang diletakkan.
Dalam kongsian Facebook pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham baru-baru ini, beliau seolah-olah memberi bayangan bekas jurulatih kelab Indonesia, Persita Tangerang iaitu Angel Alfredo Vera bakal membantu mengendalikan The Red Warriors dalam pusingan kedua Liga Super.
Beberapa siri perkongsian yang dibuat pada awalnya hanya memperlihatkan Zamsaham bertemu dan berbual santai namun Alfredo Vera seperti sudah sah menjadi pengendali skuad itu memandangkan Zamsaham turut memberitahu bahawa mereka akan ke pusat latihan bersama-sama.
Jurulatih yang berasal dari Argentina itu mungkin boleh mengembalikan Kelantan di landasan yang betul kerana beliau pernah mengecap kejuaraan Liga 2 pada 2017.
Persoalannya di sini, adakah beliau juga akan diberi indeks prestasi utama (KPI) seperti yang dikenakan ke atas Bernhardt sebelum ini?
Ketika mula-mula Bernhardt mengambil alih, Zamsaham berkata bahawa beliau akan disingkirkan sekiranya mencatatkan lima kekalahan.
Tempoh tersebut tidak lama apabila beliau mencatatkan kekalahan kelima dalam enam perlawanan sahaja, namun dua perlawanan Kelantan selepas itu masih lagi dibimbing oleh Bernhardt.
Mengikut rekod, sebelum ini TRW memulakan saingan liga dengan skuad yang boleh dikatakan agak meyakinkan di bawah kendalian Moon-sik.
Namun disebabkan prestasi yang tidak memberangsangkan, isu dalaman dan status gaji pemain yang didakwa disekat, hal ini telah menyebabkan Moon-Sik pada ketika itu disingkirkan daripada pasukan dan digantikan pula oleh Bernhardt.
Malangnya, jurulatih yang berasal dari Jerman itu juga tidak mampu membawa TRW meraih sebarang mata dalam saingan Liga Super, dan kini pasukan itu terperosok di tangga tercorot liga.
Jika benar Alfredo Vera bakal mengambil alih pasukan, Kelantan akan menjadi pasukan paling banyak menukar ketua jurulatih pada musim ini.
Walaubagaimanapun, sekiranya beliau juga diberikan KPI jumlah kekalahan seperti Bernhardt, mungkin agak sukar untuk melihatnya kekal lama berdasarkan keadaan yang sedang berlaku di kelab itu ketika ini.