Jordan siap sedia hadapi Piala Asia 2023, tampilkan aksi hebat menentang dua lawan di ranking lebih tinggi

2,781

Salah satu pasukan lawan Malaysia di Piala Asia 2023, Jordan berjaya menumpaskan Jamaica dalam satu perlawanan persahabatan semalam yang dianjurkan di gelanggang berkecuali di Austria.

Pasukan yang kini sedang berada di ranking 84 dunia itu berjaya menewaskan Jamaica yang berada di ranking 63 dengan jaringan 2-1.


Ini dilihat sebagai satu persediaan yang baik untuk Jordan bagi menguji kehebatan skuad mereka menjelang kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung kira-kira setengah tahun lagi.

Jordan sebelumnya telah tewas kepada Serbia dalam satu perlawanan persahabatan yang berlangsung sengit dengan jaringan 3-2.

Ia bukanlah satu kekecewaan memandangkan Serbia merupakan sebuah pasukan yang kuat dan berada jauh lebih tinggi dalam ranking FIFA iaitu di kedudukan ke-25.

Kedua-dua perlawanan ini menunjukkan prestasi yang membanggakan buat anak didik jurulatih Adnan Hamad apabila mereka berjaya mengekang dan bersaing dengan pasukan-pasukan yang corak permainannya agak berbeza dengan pasukan di Asia dan lebih berintensiti tinggi.

Selain itu, beberapa pemain yang dikenali dalam skuad Jordan turut tampil mempamerkan aksi cemerlang sepanjang tempoh menyarung jersi kebangsaan mereka.

Antaranya adalah penjaring gol pertama perlawanan Jordan menetang Jamaica iaitu Mahmoud Al-Mardi yang pernah bermain dengan pasukan Kedah Darul Aman FC di Liga Super pada musim lalu.

Selain rekod permainan sebanyak 19 perlawanan bersama skuad hijau kuning itu, beliau juga telah menjaringkan tujuh gol serta lima bantuan jaringan dan mendapat perhatian daripada para peminat di sana.

Selain itu, tonggak pertahanan tengah pasukan Selangor FC yang sudah bermain sebanyak 14 perlawanan musim ini iaitu Yazan Al-Arab turut beraksi dalam dua perlawanan persahabatan tersebut.

Melihat daripada corak permainan dan strategi yang digunakan oleh barisan kejurulatihan pasukan tersebut dengan memilih lawan-lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi, hal ini tidak mustahil dapat meningkatkan daya tahan dan adaptasi yang lebih cepat dengan corak permainan berintensiti tinggi dalam saingan Piala Asia kelak.

Malaysia harus waspada akan kekuatan pasukan itu, terutama pemain-pemain yang pernah dan sedang bermain di Malaysia kerana mereka boleh menjadi duri dalam daging buat Malaysia.

Selain Jordan, Malaysia juga bakal berdepan saingan daripada Korea Selatan dan juga Bahrain dalam kumpulan E pada kejohanan itu.

Jordan bakal menjadi lawan pertama buat Malaysia pada Piala Asia 2023, apabila kedua-dua pasukan dijadualkan beraksi pada 16 Januari di Stadium Al Janoub.