Jangan terbuai dengan dua kemenangan besar, ujian sebenar adalah menentang pasukan lebih baik

852

Dalam dua aksi persahabatan pada kalendar FIFA kali ini, Malaysia mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan dengan membelasah dua pasukan dari Oceania, Solomon Islands dan Papua New Guinea.

Selepas menang 4-1 ke atas Solomon Islands pada 14 Jun lalu, Malaysia terus mengganas dengan membaham Papua New Guinea semalam dengan jaringan 10-0, di mana kedua-dua perlawanan dilangsungkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.


Sudah tentu kemenangan ini akan memberi mood yang positif dalam kem kebangsaan, selain meneruskan momentum kemenangan yang dicatatkan negara dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Walaubagaimanapun, ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dalam sidang media semalam berkata bahawa beliau bimbang dengan peningkatan prestasi Harimau Malaya yang naik dengan mendadak, kerana semua pihak akan meletakkan jangkaan yang lebih tinggi.

Beliau juga mahu melihat Malaysia menampilkan persembahan sama ketika menentang lawan yang lebih kuat.

Apa yang dikatakan oleh Pan-gon itu adalah benar kerana harus diakui walaupun Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan yang begitu meyakinkan, ia bukanlah ukuran sebenar buat skuad negara.

Bukanlah mahu memandang rendah keupayaan kedua-dua pasukan itu, tetapi mereka bukanlah pasukan yang boleh dikategorikan sebagai lawan yang setaraf.

Kira-kira enam bulan lagi sebelum Piala Asia 2023 membuka tirainya, Malaysia sehingga kini masih belum diuji dengan lawan yang sama taraf dengan pasukan yang akan ditemui dalam peringkat kumpulan iaitu Bahrain yang berada ranking ke-85, Jordan (84) dan Korea Selatan (27).

Tidak salah untuk meraikan dua kemenangan besar tersebut, tetapi tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengan kedua-dua keputusan itu.

Dalam tempoh yang sama, Jordan pula mengambil kesempatan untuk menentang pasukan yang jauh lebih hebat daripada mereka iaitu Serbia di ranking ke-25 dan Jamaica di ranking ke-61, di mana mereka masing-masing tewas 3-2 dan menang 2-1.

Korea Selatan pula menentang Peru di ranking ke-21 dan El Salvador di ranking ke-75, yang menyaksikan mereka tewas 1-0 di tangan peru dan seri 1-1 menentang El Salvador.

Justeru, Malaysia perlu memastikan pasukan yang akan dihadapi dalam perlawanan antarabangsa selepas ini adalah lebih baik dan mempunyai standard bola sepak seperti pasukan yang akan dihadapi pada Piala Asia tahun depan.

Antara ujian buat Malaysia selepas ini adalah ketika Pestabola Merdeka di mana Malaysia akan menentang India yang berada di ranking ke-101, Lubnan (99) dan Palestin (93).

Jadi Pan-gon harus memastikan tempoh berkenaan dijadikan sebagai penilaian untuk Piala Asia 2023 nanti.