Kawan jadi lawan, siapa ‘winger’ terbaik di Malaysia ketika ini? Separuh akhir Piala FA jadi penentu

630

Selepas cemerlang membantu Malaysia mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan persahabatan tempoh hari, Faisal Halim dan Arif Aiman kini kembali menjadi seteru apabila bakal berentap dalam saingan separuh akhir Piala FA mewakili pasukan masing-masing iaitu Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim 26 Jun ini.

Kehebatan dan keserasian kedua-kedua pemain sayap itu ditonjolkan dalam skuad kebangsaan pada perlawanan menentang Solomon Islands dan juga Papua New Guinea.


Lima gol dijaringkan oleh Arif dalam kedua-dua perlawanan itu dengan tiga daripadanya adalah hasil bantuan oleh Faisal, manakala gol tunggal yang dijaringkan oleh Faisal juga merupakan hasil hantaran oleh Arif.

Namun mereka harus melupakan seketika hubungan mereka dalam skuad kebangsaan bagi membantu kelab masing-masing layak ke perlawanan akhir piala yang berprestij itu.

Melihat dalam saingan Liga Super juga kedua-dua pemain ini masing-masing menunjukkan prestasi yang menakjubkan bersama pasukan masing-masing sehingga menjadi sandaran ketua jurulatih masing-masing iaitu Tan Cheng Hoe dan juga Esteban Solari untuk menggempur sisi pertahanan pihak lawan.

Mengikut rekod, Faisal telah mempamerkan persembahan yang mengangumkan meskipun bertubuh kecil akan tetapi dapat bersaing dengan pemain-pemain pertahanan di Liga Super yang mempunyai fizikal yang lebih besar seperti Herold Goulon (Negeri Sembilan FC).

Jika dilihat statistik Faisal sepanjang musim ini sememangnya antara yang terbaik apabila telah bermain kesemua perlawanan liga dan kini berada di posisi keenam dalam carta penjaring terbanyak Liga Super dengan jumlah tujuh gol.

Bersama Harimau Malaya pula, beliau sudah melakukan 27 kali penampilan dan menyumbang 11 gol serta tujuh bantuan jaringan.

Pemain paling bernilai musim lalu, Arif pula yang memulakan debut bersama skuad senior kebangsaan pada tahun 2021 itu sehingga kini sudah menjaringkan lima gol, kesemuanya dalam kedua-dua aksi persahabatan yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam saingan liga musim ini pula, pemain berumur 21 tahun itu kini telah berjaya menjaringkan lima gol dan sembilan bantuan gol.

Kedua-dua pemain itu boleh membuktikan siapakan pemain sayap yang terhebat di Malaysia ketika ini dalam perlawanan separuh akhir Piala FA nanti.

Menuju perlawanan tersebut, ini sememangnya memberikan debaran buat para peminat kerana ia seperti ulangan perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu yang memperlihatkan kemenangan memihak kepada Harimau Selatan dengan skor 2-1.

Kedua-dua pemain sayap kebangsaan tersebtu pastinya bakal menjadi ayam tambatan buat pasukan masing-masing dan mungkin menjadi penentu untuk perlawanan berkenaan.