Bola sepak di Indonesia memang gila, hadir ke perlawanan ibarat turun ke medan perang – Raja Isa

652

Jurulatih kelahiran Malaysia yang kini bersama kelab Bangladesh, Muktijoddha SKC iaitu Raja Isa Raja Akram Shah mengakui rindu akan suasana bola sepak di Indonesia kerana ‘kegilaan’ para penyokongnya.

Katanya, semangat penyokong di negara itu tidak dapat ditandingi oleh negara-negara lain yang pernah beliau duduki, walaupun dalam saingan liga peringkat bawahan.


“Bola sepak di Indonesia ini gila, mungkin ramai yang tidak senang dengan apa yang saya katakan tetapi saya rindukan suasana stadium di sana.

Setiap kali turun ke perlawanan ibarat turun ke medan perang, pernah pada tahun 2007 ketika menentang Arema di gelanggang lawan, pasukan saya ketika itu, Persipura Jayapura tak boleh pulang selepas berjaya menang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, bukan hanya saingan Liga 1 yang dipenuhi penyokong, malah saingan Liga 2 serta Liga 3 juga stadium tetap akan dibanjiri para penyokong.

Katanya, ia berbeza dengan suasana di Malaysia apabila hanya beberapa pasukan sahaja yang mempunyai penyokong setia yang akan turun dalam setiap perlawanan.

“Kalau nak katakana perbezaan dengan Malaysia pastilah semangat penyokong itu, kalau di Malaysia sekarang kita boleh nampak pasukan Johor Darul Ta’zim, Terengganu, Selangor yang mempunyai ramai penyokong.

Tetapi di Indonesia pula, walaupun saingan Liga 2 atau Liga 3 pun memang akan penuh stadium, suasana itulah yang saya rindukan.”

Katanya, pengalaman di Indonesia membuatkan dirinya matang dan percaya beliau mampu berhijrah ke mana-mana negara sekalipun.

Beliau juga mengakui bahawa ia jauh berbeza dengan suasana di Bangladesh di mana tidak ramai penyokong yang mempunyai semangat seperti itu.

Tambahnya, beliau berbangga berjaya bertahan kira-kira 15 tahun di Indonesia kerana sebagai jurulatih dari Malaysia, tidak mudah untuk diberi kepercayaan begitu lama di negara itu.

Raja Isa mula mengembangkan karier di Indonesia pada tahun 2007, menjadi pembantu kepada Irfan Bakti di Persipura Jayapura.

Beliau selepas itu melatih beberapa kelab lain sehinggalah tahun 2020, dan kemudian berhijrah ke Liga Bangladesh.