Negeri Sembilan tak ambil pemain baru, peluang buat ‘ubi muda’ buktikan kemampuan di Liga Super
Keputusan Negeri Sembilan FC untuk tidak mengambil pemain baharu menjelang jendela perpindahan julai ini agak mengejutkan banyak pihak memandangkan prestasi yang ditonjolkan oleh skuad K Devan agak kurang memberangsangkan pada pusingan pertama Liga Super.
Negeri Sembilan baru-baru ini telah mengeluarkan satu pernyataan bahawa pihak mereka tidak akan mengambil pemain baharu untuk jendela perpindahan kedua Julai ini atas faktor memberi peluang kepada bakat-bakat muda daripada Piala MFL untuk beraksi bersama skuad senior.
Ia pastinya akan serba sedikit memberi tekanan buat K Devan untuk mengatur strategi bagi berlawan dengan pasukan-pasukan yang mempunyai pemain-pemain hebat, termasuklah import yang lebih ramai berbanding pasukannya.
Namun adakah ini satu langkah yang bijak kerana mungkin ada beberapa faktor yang boleh diambil kira dengan menggunakan pemain muda, tetapi sebelum ini Negeri Sembilan pernah memberitahu bahawa mereka bakal menggunakan hanya tiga kuota pemain import namun sebaliknya mereka akhirnya mempunya lima pemain import pada awal musim ini.
Namun kini hanya tinggal empat import yang masih bersama pasukan selepas pemain Brazil, Vinicius Leonel digugurkan gara-gara prestasi yang tidak memuaskan.
Berikutan itu, kini hanya ada Anselmo Arruda da Silva, Levy Madinda, Herold Goulon dan Safwan Baharuddin yang mengisi kuota import.
Dengan pemain seperti Zaquan Adha yang terpaksa dilupakan buat sementara waktu akibat mengalami kecederaan koyak ligamen lutut anterior (ACL) buat kali keempat, sekaligus telah meninggalkan ruang kosong buat bahagian serangan pasukan itu.
Selepas ini, mungkin ramai ‘ubi muda’ Negeri Sembilan yang akan diberi peluang untuk menunjukkan kehebatan mereka, dan mungkin situasi ini boleh membuatkan pemain muda mereka bersinar.
Siapa tahu ada bakat muda dari skuad Piala MFL mereka yang sedang menunggu masa untuk ‘meletup’ dan menunjukkan kemampuannya dalam saingan Liga Super.
Prestasi skuad Piala MFL Negeri Sembilan juga cukup baik apabila kini menduduki tangga kedua kumpulan B.
Pada musim ini, Negeri Sembilan dilihat agak stabil meskipun berada di tangga kesembilan, namun rekod mereka tidaklah begitu mengecewakan dengan empat kemenangan, enam seri dan empat kekalahan bagi sebuah pasukan yang tidak memiliki pemain import yang ramai.
Mungkin K Devan sendiri sudah memilik idea dan strategi bagi mengharungi separuh lagi baki perlawanan Liga Super dengan apa yang ada.