Tan Cheng Hoe anggap hantaran Instastory TMJ satu perang psikologi, cabaran buat Selangor
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menganggap hantaran Instastory oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memaparkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang berlatih menjelang saingan separuh akhir Piala FA dengan keputusan 5-0 dipaparkan di papan skor adalah sebagai satu perang psikologi.
Katanya, perang psikologi adalah biasa dalam bola sepak tetapi beliau percaya para pemainnya sudah cukup bersedia untuk tidak dipengaruhi oleh perkara itu.
“Itu adalah satu perang psikologi dan saya rasa pemain Selangor sudah cukup tahu dan bersedia dengan perang psikologi.
Kita jadikan ia sebagai satu cabaran buat kita, yang penting saya harap tiada sebarang gangguan emosi pemain pada perlawanan itu,”
katanya.
Katanya, dalam beberapa perlawanan terakhir, Selangor mencatatkan keputusan yang baik, jadi ia menunjukkan bahawa pasukan itu mempunyai kekuatan bukan sahaja dari segi fizikal dan teknikal, tetapi juga mental.
Cheng Hoe mengakui bahawa JDT merupakan pasukan pilihan pada perlawanan tersebut dan Selangor adalah ‘underdog’, tetapi bersedia memberikan cabaran.
“Kita akan bermain di Stadium Sultan Ibrahim sudah pasti ia adalah satu cabaran, di atas kertas memang mereka ada kelebihan dan kita adalah pasukan ‘underdog’.
Kita tak boleh pergi ke sana dan tidak menyerang, yang penting kita harus fokus setiap minit dari minit pertama sampailah minit 90 atau 120.”
Beliau tidak menolak peluang buat anak-anak buahnya melakukan kejutan pada perlawanan itu.
JDT akan bertemu Selangor pada Isnin ini untuk saingan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim.