Lebih ramai pemain akan ‘cabut lari’ jika isu tunggakan gaji Kelantan FC tak diselesaikan segera
Sekiranya Kelantan FC gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain dalam masa terdekat ini mereka akan berdepan masalah besar apabila lebih ramai pemain dijangka akan ‘cabut lari’ untuk cari pasukan baru.
Ini kerana kebiasaannya dalam kontrak pemain akan terkandung mengenai klausa yang seseorang pemain boleh membatalkan kontraknya jika tidak mendapat gaji lebih dua bulan.
Pemain tresebut mengemukakan notis kepada pasukan untuk menamatkan kontrak dan boleh membuat tuntutan terhadap tunggakan gaji yang dihadapi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Beberapa tonggak utama sudah pun ‘angkat kaki’ dari pasukan itu dek masalah gaji antaranya Miguel Cifuentes, Levy Madinda dan Afiq Azuan.
Tambahan pula, FAM baru sahaja mengenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua yang akan dibuka pada 5 Julai nanti ekoran Kelantan gagai menyelesaikan tunggakan gaji pemain.
Pemilik kelab, Norizam Tukiman yang sedia maklum dengan sekatan perpindahan pemain dan berjanji akan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin untuk mendaftarkan pemain-pemain baru nanti.
Disebalik kemelut yang berlaku, Kelantan terus rancak mempunyai perancangan untuk baki saingan liga apabila dilaporkan sudah menandatangani ketua jurulatih baru iaitu Angel Alfredo Vera dan Gonzalez Gidi sebagai jurulatih kecergasan.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham juga telah mengumumkan kehadiran dua pemain import baru iaitu Natanael Siringgoringo dari Indonesia dan pemain tempatan Allee Putra Azril.
Persoalan yang timbul kini adakah pengumuman itu dibuat terlalu awal? Ini kerana sekiranya FAM telah mengenakan sekatan perpindahan pemain, ia bermakna kedua-dua pemain tersebut masih belum boleh didaftarkan.
Bukan isu tunggakan gaji pemain sahaja, Kelantan juga didakwa tidak membayar potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso yang mana mereka perlu selesaikan isu tersebut sekiranya mahu sekatan perpindahan pemain ditarik balik.
Kelantan mungkin boleh berbincang dengan KWSP dan Perkeso untuk meminta bayaran dilakukan secara ansuran dan kedua-dua pihak itu perlu mengeluarkan satu surat rasmi untuk diberikan kepada Malaysian Football League (MFL).
Mereka juga perlu memastikan tunggakan gaji pemain perlu diselesaikan dalam masa terdekat ini atau mendapatkan persetujuan daripada pemain untuk tunggakan gaji itu diselesaikan secara ansuran.
Jika gagal, maka pasukan itu tidak akan dibenarkan mendaftarkan pemain baru bagi baki saingan liga.
Satu tempoh baru akan diberikan kepada pasukan itu untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji dan jika masih gagal juga, hukuman pemotongan mata juga mungkin akan dikenakan.
Situasi yang berlaku pada pasukan Kelantan ini hampir sama seperti situasi yang pernah berlaku pada Perak FC sebelum ini yang bukan sahaja dikenakan sekatan perpindahan pemain, tetapi juga dikenakan hukuman pemotongan mata dek gagal membayar tunggakan gaji pemain.
Apa pun sama-sama kita tunggu dan nantikan perkembangan terbaru samada isu tunggakan gaji dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini atau tidak.