Peminat di Terengganu lebih memilih untuk tengok Piala FA dari perlawanan skuad kebangsaan?
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) menjadi saksi tiga perlawanan yang cukup menarik apabila membabitkan dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pasukan kebangsaan Malaysia dan separuh akhir Piala FA membabitkan Terengganu FC.
Namun perbezaan ketara yang dapat dilihat pada ketiga-tiga perlawanan ini adalah dari jumlah penyokong hadir ke stadium.
Berdasarkan statistik tiket yang terjual semasa perlawanan persahabatan yang lalu adalah masing-masing berjumlah 12,867 (Kepulauan Solomon) manakala hanya 9,597 (Papua New Guinea).
Bagaimanapun pada perlawanan separuh akhir Piala FA semalam, lebih 26,500 penyokong Sang Penyu turut menyaksikan perlawanan pasukan kesayangan mereka menentang KL City FC di mana tuan rumah terpaksa akur apabila tewas 4-2 dalam penentuan penalti.
Perbezaan ketara jumlah penyokong hadir ke stadium telah menimbulkan pelbagai spekulasi di media sosial yang mempersoal jumlah kehadiran penyokong lebih ramai pada perlawanan kelab berbanding skuad negara.
Ada yang memberi justifikasi mengenai punca atau faktor yang berlaku iaitu harga tiket bagi kedua-dua jenis perlawanan ini juga agak berbeza yang mana bagi perlawanan persahabatan Malaysia yang lalu adalah RM30 untuk bahagian terbuka manakala bagi perlawanan Piala FA ini lebih murah iaitu RM20 bagi bahagian yang sama.
Hal ini mungkin juga boleh dijadikan sebab yang kukuh untuk tidak semua peminat turun menonton kesemua perlawanan terutama yang berkeluarga sudah tentu akan menelan belanja yang banyak bagi tiket dan belum termasuk perbelanjaan makanan dan minuman.
Namun jika dilihatkan semula adakah perkara ini wajar untuk dibanding-bandingkan kerana seperti yang dinyatakan oleh salah seorang netizen berkenaan kos mandiri yang perlu ditanggung oleh seseorang individu untuk menyaksikan setiap perlawanan yang berlansung di SSMZA pada bulan Jun ini.
Dilihat daripada huraian pengiraannya dibuat oleh pengguna tersebut sememanya tidak wajar untuk dibanding-bandingkan kerana sudah pasti ada yang tidak mahu membazirkan wang mereka disebabkan ada beberapa perlawanan penting dan akan memilih untuk ke perlawanan yang mereka mahu.
Bagi mereka yang mampu dan sangat mengikuti rapat skuad kebangsaan serta TFC sudah pasti akan hadir bagi kesemua perlawanan yang dilansungkan untuk memberikan sokongan penuh mereka.
Dalam pada itu, jumlah penyokong yang hadir untuk kedua-dua perlawanan di Terengganu jauh lebih ramai berbanding perlawanan skuad negara di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor Bahru yang lebih menyedihkan apabila hanya 4,000 lebih sahaja hadir pada perlawanan menentang Turkmenistan dan 5,000 lebih ketika menentang Hong Kong.