Logo tertanggal, nampak remeh tapi beri impak besar
Setiap perlawanan bola sepak banyak perkara yang menjadi perhatian peminat, bukan sahaja pemain tetapi jenis kasut bola yang dipakai, gaya rambut dan yang paling menjadi perhatian sudah semestinya jersi yang dipakai.
Antara perkara pertama yang akan menjadi perhatian peminat apabila melihat rekaan jersi yang menarik pastinya jenama apakah jersi itu, tapi jika logo jenama tidak terpapar di jersi pastinya ia akan menimbulkan pelbagai persoalan termasuk kualiti jersi itu sendiri jika logo jenama tertanggal.
Itulah yang berlaku pada pemain Sri Pahang FC, Kpah Sherman yang berjaya menjaringkan gol dan apabila meraikannya di hadapan kamera bersama rakan sepasukan, peminat menyedari bahawa jersi yang dipakai oleh pemain itu tidak mempunyai logo Hakka Clo seperti di jersi rakan sepasukan.
Ya, mungkin ada pihak yang menganggap perkara itu sebagai remeh, tetapi percaya atau tidak ia sebenarnya memberi impak yang agak besar terutamanya kepada jenama jersi itu sendiri.
Sebagai jenama pakaian sukan tempatan yang dikenali menghasilkan produk berkualiti, isu logo tertanggal di jersi memberi pandangan negatif kepada jenama tersebut yang mana pastinya ada yang akan mempertikaikan kualiti jersi tersebut.
Impaknya? Mungkin ramai yang akan memikir banyak kali sekiranya ingin membeli jersi keluaran jenama tersebut kerana bimbang tidak tahan lama.
Kitman pasukan perlu lebih peka dengan keadaan jersi-jersi yang akan digunakan oleh pemain kerana mereka adalah model yang mewakili penaja di mana tumpuan jurugambar dan jurukamera pastinya terhadap pemain sekaligus ia adalah peluang untuk mempamerkan semua logo penaja yang ada pada jersi.
Tambahan pula, pada perlawanan menentang Kelantan FC itu menyaksikan skuad Tok Gajah berjaya menang besar, jadi pastinya pemain yang menjaringkan gol akan menjadi tumpuan.
Hal ini sedikit sebanyak memang akan membawa kerugian kepada penaja sekaligus menurunkan nilai pasaran buat jersi yang bakal dijual atas jenama tersebut.
Sepatutnya para penaja terutama jenama tempatan mereka seharusnya meningkatkan ‘permainan’ mereka dalam cubaan untuk menarik perhatian para penonton di luar sana agar mengenali jenama mereka.
Isu logo tertanggal bukan terjadi pada Hakka Clo sahaja tetapi jenama besar seperti Nike pun pernah berdepan isu sama apabila ada peminat yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kualiti jersi apabila logo tertanggal apabila dibasuh.
Oleh itu, kita harapkan situasi yang berlaku pada Kpah baru-baru ini tidak lagi berulang bukan sahaja kepada Sri Pahang tapi juga kepada pasukan lain.